KUALA LUMPUR 10 Sept. - Unit hartanah mewah yang tidak terjual mungkin tidak akan dikenakan cukai pengosongan atau ‘vacancy tax’ pada tahun hadapan.
Ini adalah berikutan kerajaan menerusi Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) masih lagi mengkaji mekanisme lain.
Menteri KPKT, Zuraida Kamaruddin (gambar) berkata, cadangan pelaksanaan cukai itu bukan sesuatu yang segera dan kerajaan mengutamakan kemudahan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat.
Jelasnya, kerajaan juga ingin memastikan golongan B40 serta M40 boleh membeli rumah dengan cara lebih mudah menerusi bank.
“Kami sedang menyemaknya dan ia bukan keutamaan kami pada masa ini. Biarkan pemaju menguruskannya.
"Idea mengenai cukai pengosongan ini hanya muncul apabila kami memikirkan mengenai hartanah mewah yang tidak terjual dan tidak akan dilaksanakan pada 2021, kami mempunyai mekanisme lain,” katanya selepas melancarkan Digital Skim Rumah Pertamaku (Digital SRP) oleh Cagamas SRP Berhad.
Sebelum ini, pelaksanaan cukai pengosongan itu dibentangkan pada mesyuarat Majlis Ekonomi untuk perbincangan yang bertujuan mengatasi masalah rumah mewah tidak terjual.
Setakat ini, terdapat 29,000 unit mewah tidak terjual bernilai RM29 bilion.
"Hanya terdapat 29,000 unit rumah mewah yang tidak terjual dengan nilai RM29 bilion.
“Itu tidak menjadi satu kesegeraan untuk kita menyelesaikan masalah itu,” tambahnya. - DagangNews.com