Tiada ganjaran daripada kerajaan buat Muhammad Ziyad | DagangNews Skip to main content

Tiada ganjaran daripada kerajaan buat Muhammad Ziyad

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 9 Nov - Jaguh lontar peluru para negara, Muhammad Ziyad Zolkefli tidak akan menerima sebarang ganjaran daripada kerajaan termasuk menerusi Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) selepas penyertaannya di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan, Ogos lalu.

 

Atlet berusaia 31 tahun itu terlepas pingat emas dan rekod dunia menerusi catatan 17.94 meter (m) di Tokyo selepas penyertaannya diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak bermula susulan protes yang dilakukan Ukraine disebabkan kelewatannya tiba di bilik menunggu sebelum pertandingan bermula.

 

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya akan berhubung dengan Muhammad Ziyad bagi membincangkan ganjaran yang tiada kena mengena dengan peruntukan kewangan kerajaan.

 

"Ada pihak-pihak yang ingin memberikan tawaran kepada Muhammad Ziyad agar kejayaan yang diperoleh tetapi tidak diterima itu dapat kita beri sedikit ganjaran.

 

"Apa bentuk ganjaran, saya tidak boleh umumkan kecuali Muhammad Ziyad sendiri yang mahu umumkan. Namun, saya pun belum sampaikan kepadanya mengenai perkara ini," katanya.

 

Ahmad Faizal sebelum ini memberitahu kerajaan menerusi KBS sedang mempertimbangkan bentuk ganjaran yang setimpal untuk diberikan kepada Ziyad biarpun emas dan rekod dunia yang dilakarnya dibatalkan.

 

Hasil siasatan dijalankan Jawatankuasa Siasatan Dalaman yang dipengerusikan Tan Sri Borhan Dolah mendapati Ziyad dan jurulatihnya, Mohd Faizol Harun tidak dapat membuktikan mereka tiba pada pada waktu yang ditetapkan untuk pendaftaran di bilik menunggu biarpun kedua-duanya menganggap mereka tiba tepat pada waktunya.

 

"Janganlah lihat prkara ini sebagai hukuman. Ia lebih kepada insiden malang yang berlaku. Kalau mahu bagi hukuman, pihak kita pun tidak dapat membuktikan yang mereka melakukan kesilapan dan mereka pula yang mengatakan tiba tepat pada masanya juga gagal membuktikan perkara berkenaan.

 

"Perkara yang berlaku ini perlu dijadikan pengajaran agar tidak berlaku di masa akan datang. Tahun depan kita ada tiga kejohanan besar iaitu Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Komanwel, kita akan pastikan semua pegawai kita faham tanggungjawab masing-masing," katanya.-DagangNews.com