Tiada impak ekonomi akibat darurat | DagangNews Skip to main content

Tiada impak ekonomi akibat darurat

Tiada impak ekonomi akibat darurat

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 13 Jan. - Proklamasi Darurat yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam tidak memberi kesan kepada ramalan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

 

MIDF Research dalam nota kajiannya berkata, sebaliknya kesan ekonomi berlaku disebabkan oleh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali kedua.

 

"Kami percaya bahawa tidak akan ada kesan terhadap ramalan KDNK susulan pengisytiharan darurat. Ini kerana aktiviti ekonomi masih terus beroperasi seperti biasa.

 

"Kami berpendapat bahawa kesan ekonomi akan terjadi akibat pelaksaan PKP 2.0. 

 

"Kami menganggarkan kesan PKP 2.0 selama dua minggu ke atas enam negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah bersama  PKP Bersyarat (PKPB) di enam buah negeri lain kecuali Perlis dan Sarawak mampu menurunkan pertumbuhan KDNK hingga 0.8ppt (mata peratusan)," jelas MIDF Research.

 

Tambah MIDF Research, penurunan tersebut dengan kata lain menyebabkan pertumbuhan ekonomi negara yang lebih perlahan kepada paras 6.2% tahun ke tahun berbanding unjuran 7%.

 

Secara komulatif, semua negeri dan wilayah persekutuan yang dikenakan PKP dan PKPB menyumbang hampir 90% daripada KDNK negara.

 

Mengulas berkaitan kesan darutat terhadap pendapatan syarikat korporat, MIDF Research memberitahu, pihaknya juga tidak melihat sebarang kesan darurat kepada pendapatan syarikat.

 

"Kami percaya bahawa apa-apa kesan akan terjadi dan berlaku akibat PKP yang bertujuan untuk menurunkan kadar jangkitan COVID-19.

 

"Oleh itu, kami berpendapat PKP 2.0 mungkin mengubah lintasan pemulihan ekonomi Malaysia dengan kesan yang sedikit negatif. Oleh itu, kesan terhadap pendapatan korporat juga sedikit," tambah MIDF Research.

 

Pengistiharan darurat tersebut bagaimanapun dipercayai akan memberi kesan negatif jangka pendek terhadap sentimen pasaran kewangan.

 

Pasaran kewangan mungkin akan menyaksikan jualan tergesa-gesa.  

 

Bagaimanapun, konteks darurat perlu difahami dengan baik yang bertujuan untuk memerangi penularan wabak COVID-19 dan memastikan pemulihan ekonomi tetap utuh.

 

"Kami mengekalkan sasaran FBM KLCI akhir tahun 2021 sebanyak 1,700 mata," jelas MIDF Research lagi. - DagangNews.com