Tiada penggabungan perniagaan penerbangan AirAsia, kata Tony Fernandes | DagangNews Skip to main content

Tiada penggabungan perniagaan penerbangan AirAsia, kata Tony Fernandes

KUALA LUMPUR 5 Dis - Tiada penggabungan perniagaan cabang penerbangan AirAsia menjadi satu entiti baharu, sebaliknya semua operasi penerbangan akan disuntik di bawah satu struktur sedia ada, kata ketua pegawai eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernandes.

 

Beliau berkata, ini membayangkan bahawa empat syarikat penerbangan di bawah Capital A, iaitu AirAsia Malaysia, AirAsia Thailand, AirAsia Filipina, dan AirAsia Indonesia, dan AirAsia X Bhd (yang mengendalikan AAX Malaysia dan AAX Thailand) akan beroperasi secara berasingan di bawah Kumpulan Penerbangan AirAsia (AAG).

 

"Kami hanya menyuntik syarikat penerbangan AirAsia ke dalam status penyenaraian AAX... tiada penggabungan. AAX akan dinamakan semula sebagai AAG, dan akan ada enam syarikat penerbangan di bawahnya.

 

"Sebagai sebuah syarikat, kami boleh mengeluarkan banyak kos, tetapi akan ada operasi berasingan oleh setiap syarikat penerbangan individu," katanya kepada media selepas melancarkan pakej langganan AirAsia SUPER+ Unlimited di sini hari ini.

 

Fernandes berkata operasi berasingan baharu itu akan mempunyai struktur yang sama seperti International Airlines Group (IAG), yang memiliki British Airways, Iberia Airlines dan Aer Lingus.

 

Beliau berkata apabila semua syarikat penerbangan itu berada di bawah satu entiti, setiap syarikat akan mengekalkan operasi masing-masing bagi perkhidmatan penerbangan jarak dekat dan sederhana, dengan jumlah 225 pesawat syarikat terdiri daripada model Airbus A320 dan A321.

 

“Melangkah ke hadapan, pesawat utama kami ialah A321 untuk kedua-dua syarikat penerbangan. Kami mahu berkembang semula. Kini kami mempunyai buku pesanan 326 pesawat A321,” tambahnya.

 

asiaair

 

Sementara itu, semasa pelancaran SUPER+, Fernandes berkata syarikat penerbangan itu berharap untuk membuka semua rangkaiannya menjelang suku kedua tahun depan, sementara menunggu pembukaan semula beberapa destinasi lain yang kini masih di bawah langkah sekatan COVID-19.

 

“Kami tidak dapat mengawal bila [China] akan dibuka, tetapi kami berharap ia dibuka pada tahun depan. Satu-satunya [rangkaian] yang tidak dibuka sekarang ialah Macau dan China. Selebihnya semuanya terbuka,” katanya. - DagangNews.com