Tidak hiraukan 'lockdown', keuntungan bank dijangka meningkat 9.4% | DagangNews Skip to main content

Tidak hiraukan 'lockdown', keuntungan bank dijangka meningkat 9.4%

WALAUPUN 'lockdown' dikuatkuasakan, namun bank-bank di Malaysia dijangka mencatatkan pertumbuhan dua digit dalam keuntungan bersih mereka pada tahun ini. - Gambar hiasan 

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Jun - Institusi perbankan di Malaysia dijangka mencatatkan pemulihan dari segi keuntungan bersih utama mereka dengan unjuran lonjakan sebanyak 9.4% bagi tahun 2021. 

 

Ramalan itu dibuat oleh penganalisis di CGS-CIMB Research, Winson Ng selepas bank-bank mencatatkan trend positif dalam indikator kewangan mereka bagi suku pertama 2021 (1Q21), seterusnya menjadi pemangkin kepada unjuran berkenaan. 

 

“Kami mengunjurkan pemulihan dalam pertumbuhan keuntungan bersih utama bank kepada 9.4% pada 2021, daripada penyusutan 10.8% pada 2020. 

 

“Pemangkin kepada perolehan itu adalah unjuran pertumbuhan sebanyak 8.3% dalam pendapatan faedah bersih pada 2021 berbanding penurunan 3.6% pada 2020, susulan kadar dasar semalaman (OPR) yang dijangka stabil sepanjang 2021.

 

“...serta unjuran penurunan sebanyak 34.7% dalam peruntukan kerugian pinjaman (LLP) pada 2021 berbanding 172% lonjakan pada 2020, memandangkan bank-bank telah menyediakan kebanyakan peruntukan mereka untuk COVID-19 pada 2020,” jelas Ng dalam satu nota kajian.

 

Dalam pemerhatian Ng, bank-bank bukan sahaja mencatatkan pertumbuhan keuntungan bersih utama yang kukuh sebanyak 24.5% pada 1Q21, malah turut menyaksikan trend positif dalam petunjuk kewangan mereka termasuk pendapatan bukan faedah, pertumbuhan pemberian pinjaman dan kualiti aset. 

 

Antara aspek kewangan bank yang terus menunjukkan trend positif adalah margin faedah bersih (NIM), melonjak 5 mata asas (bps) pada 1Q21, dan LLP mula menunjukkan kitaran menurun, menyusut 39.5% berbanding suku tahun sebelumnya pada 1Q21, tambah Ng lagi.

 

Di sebalik unjuran memberangsangkan itu, Ng bagaimanapun tidak menafikan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 akan mendatangkan risiko penurunan buat pertumbuhan perolehan bank bagi tahun ini. 

 

Mereka mungkin berdepan pemberian pinjaman dan pertumbuhan pendapatan yuran yang lebih perlahan serta peningkatan dalam nisbah pinjaman rosot nilai kasar. 

 

Ini sekali gus berkemungkinan mengurangkan unjuran pertumbuhan keuntungan bersih utama bank bagi tahun ini, tetapi Ng masih percaya institusi itu masih berada di landasan pemulihan.

 

Ini terutamanya selepas keuntungan bersih utama bank-bank di bawah liputan CGS-CIMB meningkat dengan kukuh sebanyak 11.6% pada 1Q21 berbanding tempoh sama pada tahun lalu, jelas Ng.

 

“Kami menjangkakan keuntungan bersih utama sektor itu akan menyusut dari segi perbandingan suku ke suku (q-o-q) pada 2Q21 ekoran PKP 3.0. 

 

“Namun, kami percaya sektor perbankan mampu mencapai pertumbuhan dua digit dalam keuntungan bersih utama berbanding tempoh sama tahun lalu sebanyak 10%,” tambah Ng. 

 

CGS-CIMB mengekalkan penarafan ‘overweight’ ke atas sektor perbankan dengan pertumbuhan keuntungan bersih utama bertindak sebagai pemangkin untuk potensi penarafan semula. - DagangNews.com