Tiga pelajar UPM terima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong 2021 | DagangNews Skip to main content

Tiga pelajar UPM terima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong 2021

Dari kiri Nur Aina Izzati Mohd Mokhtar, Mogesh a/l Sababathy dan Nur Amirah Syafiqah Salman.

KUALA LUMPUR 10 Mac - Tiga pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima Biasiswa Yang di-Pertuan Agong yang dikurniakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin AlMustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad S hah Al-Musta’in Billah.

 

Baginda berkenan mengurniakan biasiswa Peringkat Doktor Falsafah (PhD) kepada pelajar Fakulti Perubatan Veterinar (FPV), UPM, Mogesh a/l Sababathy dalam pengkhususan Clinical Health (Stem Cells).

 

Selain itu, baginda turut mengurniakan biasiswa peringkat sarjana (Master) kepada Nur Amirah Syafiqah Salman dalam pengkhususan Agro Science dan Nur Aina Izzati Mohd Mokhtar dalam pengkhususan Analytical Chemistry.

 

Naib Canselor UPM, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berharap dengan penerimaan biasiswa tersebut oleh tiga pelajar UPM itu akan menjadi contoh serta inspirasi kepada pelajar UPM yang lain.

 

''“Dengan pemberian biasiswa tersebut secara langsung membantu pelajar dari segi kewangan agar lebih fokus dalam mencapai kecemerlangan akademik,” katanya.

 

Beliau turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada ketiga-tiga pelajar UPM yang berjaya menerima biasiswa BYDPA dan berjaya untuk terus memacu kecemerlangan di dalam bidang pengajian masing-masing sejajar dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 Matlamat 1 Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang.

 

 

Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman
                                                     Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman

 

 

Sementara itu, biasiswa tersebut mula diperkenalkan pada tahun 2006 dan penerima diberi penajaan untuk pengajian di universiti penyelidikan dalam negara dan universiti terkemuka dunia dalam bidang Sains & Teknologi, Ekonomi, Undang-Undang dan Kewangan Islam.

 

Universiti Putra Malaysia merupakan universiti yang diiktiraf di peringkat antarabangsa dengan kecemerlangan selama 88 tahun dalam pengajian tinggi juga diiktiraf sebagai salah satu universiti penyelidikan terbaik di rantau ini dan menduduki tempat ke-143 dan ke-2 terbaik negara di QS World University 2022.

 

Sebagai salah satu universiti terbesar dan terkemuka di Malaysia dengan reputasi kecemerlangan yang lestari dalam pengajaran dan penyelidikan, UPM sentiasa menjadi pilihan utama bagi pelajar dari seluruh dunia.

 

Sebagai pusat pembelajaran bertaraf dunia, Universiti Putra Malaysia menawarkan portfolio disiplin akademik yang luas bagi lebih daripada 28,000 pelajar dalam pelbagai program akademik yang telah banyak menyumbang kepada pengetahuan dan pembangunan modal insan yang berkualiti sejak tahun 1931.

 

Pelan Strategik UPM 2021-2025 meletakkan 5 matlamat iaitu:
Matlamat 1 Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang;
Matlamat 2 Mewujudkan Hab Penyelidikan Dan Inovasi Yang Menjanakan Nilai Berteraskan Ekosistem Lestari;
Matlamat 3 Melestarikan Ekosistem Jaringan Industri Dan Masyarakat;
Matlamat 4 Memperkasakan Pertanian Dan Ketahanan Sekuriti Makanan;
Matlamat 5 Memperteguh Tadbir Urus Institusi, Kemampanan Kewangan Dan Amalan Kelestarian Hijau.

 

Pelan Strategik UPM 2021-2025 mengangkat tema “Seruan Al-Falah Dari Menara Ilmu” sebagai tunjang yang menzahirkan komitmen universiti dalam konteks memartabatkan ilmu demi kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat seiring dengan slogan yang disematkan iaitu "Berilmu Berbakti. - DagangNews.com