Tiga syarikat bergabung bangunkan tanah wakaf di Selangor dan Johor untuk kemudahan kesihatan  | DagangNews Skip to main content

Tiga syarikat bergabung bangunkan tanah wakaf di Selangor dan Johor untuk kemudahan kesihatan 

(Dari kiri) Datuk Ahmad Raziff Abu Bakar, Dr Khamsiah Muda dan Datuk Alex Wee Cheng Kwan menandatangani perjanjian MoU dengan disaksikan pegawai kanan syarikat-syarikat yang menjalin kerjasama pada majlis yang diadakan di Putrajaya, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 13 Sept - Widuri Capital Management Sdn. Bhd. (WCM), Bintang Kencana Sdn. Bhd. (BKSB) dan Andorra Healthcare Bhd. (AHB) mengumumkan perjanjian kerjasama strategik baharu untuk pembangunan kemudahan penjagaan kesihatan wanita dan kanak-kanak di tanah-tanah wakaf di Johor dan Selangor.

 

Pengarah WCM, Datuk Alex Wee Cheng Kwan berkata, kerjasama tersebut akan melengkapkan kewujudan WCM untuk menyediakan syarikat berasaskan kemudahan penjagaan kesihatan tempatan dengan akses yang lebih besar kepada sumber dana alternatif daripada pasaran ekuiti swasta tempatan.

 

“Sebagai rakan kongsi dalam BKSB, kami tidak ragu-ragu tentang keupayaan BKSB untuk membangunkan kemudahan penjagaan kesihatan baharu dan mengiktiraf keupayaan AHB dalam menguruskan hospital tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Dalam majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang diadakan di Putrajaya itu, Alex berkata, dana tersebut akan dapat memudahkan rancangan BKSB untuk melaksanakan pembangunan berkenaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif BKSB, Datuk Ahmad Raziff Abu Bakar pula berkata, projek tersebut bukan sahaja akan memberi manfaat kepada masyarakat yang disasarkan di sekitar tanah wakaf tetapi menawarkan projek pembangunan berpotensi untuk BKSB di masa depan.

 

“Kerjasama ini penting bagi BKSB untuk mempromosikan beberapa projek pembangunan hospital lain di seluruh negara, serta meningkatkan nilai tanah wakaf dan seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat.

 

"BKSB telah mengenal pasti lokasi-lokasi lain yang berpotensi di negara ini dan menjalin bekerjasama dengan pengendali terkemuka di samping mempromosikan pusat kecemerlangan itu,” katanya.

 

Sementara itu, Pengarah dan Pengasas AHB, Dr Khamsiah Muda, pembangunan hospital ini akan menjadi sebahagian daripada pelan pembesaran Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Andorra dalam mempromosikan konsep Penjagaan Ihsan dalam persekitaran penjagaan kesihatan pelbagai disiplin.

 

“Kini hospital itu terletak di Seri Kembangan, Selangor, Hospital Wanita dan Kanak-kanak Andorra menawarkan perkhidmatan penjagaan kesihatan wanita dan kanak-kanak pakar,” tambahnya.

 

Katanya, pematerian MoU ini adalah sebahagian daripada pelan induk AHB untuk pengembangan kemudahan penjagaan kesihatan bagi membolehkan wanita dan kanak-kanak mendapat akses perkhidmatan penjagaan kesihatan pakar terkemuka dalam persekitaran penuh kasih sayang.

 

Penglibatan Yayasan Waqaf Malaysia dan Perbadanan Islam Johor dalam kerjasama ini juga akan menyumbang kepada impak yang besar kepada keseluruhan rancangan pembangunan kerana institusi itu diamanahkan kerajaan dalam membangunkan kemudahan penjagaan kesihatan di tanah wakaf. - DagangNews.com