KUALA LUMPUR 21 Nov - Setelah berhadapan dengan pelbagai isu termasuk kelewatan, kapal ronda pesisir pertama (OPV 1) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menghampiri tarikh untuk diserahkan.
Kapal berkenaan telah pun selesai melaksanakan pelbagai ujian di laut yang dimulakan sejak September lalu termasuk ujian penembakan di perairan Lumut, Perak.
Ujian-ujian ini merupakan fasa akhir dalam program pembinaan kapal tersebut untuk menguji sistem kapal dan juga pengendalian.
Difahamkan, satu lagi ujian pelayaran akan dilakukan pada minggu ini buat kali terakhir sebelum penyerahan dilakukan.
Dengan perkembangan terbaharu ini maka jangkaan untuk OPV 1 diserahkan kepada APMM melalui Kementerian Dalam Negeri pada 27 November ini bakal terlaksana.
Tarikh tersebut sepertimana disebut Ketua Pengarah APMM, Laksamana (Maritim) Datuk Hamid Mohd Amin semasa di Kuching, Sarawak awal bulan ini.
Bermakna, penantian hampir tiga tahun untuk menunggu OPV 1 ini siap berbanding tarikh asal iaitu pada tahun 2020 berakhir.
Daripada satu aspek, kemelut projek OPV APMM menyelesaikan satu masalah yang mana sepanjang tempoh itu penangguhan demi penangguhan terpaksa diberikan.
Walaupun tidak diberikan alasan atas kelewatan menyiapkan kapal kecuali semasa pandemik Covid-19, yang pasti projek OPV APMM mencalarkan imej industri tempatan.
Suka atau tidak, kelewatan untuk menyiapkan OPV 1 sejak kontrak diberi pada tahun 2017 menyebabkan ramai dalam kalangan pemerhati pertahanan tidak merasa yakin terhadap kemampuan firma tempatan untuk diberikan projek besar.
Kelewatan projek OPV APMM menyebabkan projek ini turut dipertikaikan masyarakat yang mana pada masa sama Kementerian Pertahanan berdepan dengan skandal kapal tempur pesisir (LCS).
Walaupun kedua-duanya merupakan projek berbeza, namun kelewatan yang dihadapi turut menyebabkan imej kerajaan dipertikaikan.
Keseluruhannya sehingga OPV 1 ini siap, projek tersebut memakan masa selama enam tahun untuk disiapkan.
Manakala projek LCS yang mula lebih awal iaitu pada 2014 masih berdepan masalah tersendiri.
Pada julat harga asal OPV 1 kira-kira RM246 juta sebuah, ia bukanlah sebuah kapal yang kompleks untuk disiapkan kerana penggunaannya adalah untuk tugas-tugas penguatkuasaan.
Berbanding kapal tentera laut atau kapal perang, OPV APMM tidak mempunyai sistem-sistem yang berteknologi terlalu tinggi, malah persenjataan utama kapal juga cuma selaras meriam automatik kaliber kecil.
Sepertimana diketahui umum, projek OPV 1 telah diambil alih oleh kerajaan menerusi Kementerian Kewangan (MOF) daripada TH Heavy Engineering (THHE) pada Januari selepas ia dikesan menghadapi masalah besar.
MOF terpaksa menyuntik pinjaman RM152.6 juta menjadikan kos keseluruhan kira-kira RM891.5 juta bagi memastikan kapal itu disiapkan tahun ini.
Siapnya OPV 1 ini, setidak-tidaknya ia memberi kelegaan kepada APMM setelah bertahun-tahun dibelenggu dengan isu kekurangan aset yang kritikal.
OPV 1 yang akan ditugaskan di perairan Laut China Selatan ini sememangnya dibina untuk berhadapan dengan tugas-tugas yang lebih sukar berbanding kapal peronda APMM sedia ada.
Ia bagaimana pun masih tidak dapat menyelesaikan isu kekurangan kapal kerana sememangnya aset yang ada masih kurang.
OPV 1 telah siap, seterusnya kita menantikan bila pula dua aset seterusnya iaitu OPV 2 dan OPV 3 dapat dilihat.- DagangNews.com