Tiong Nam bangunkan gudang agihan terbesar untuk klien MNC di Asia Pasifik | DagangNews Skip to main content

Tiong Nam bangunkan gudang agihan terbesar untuk klien MNC di Asia Pasifik

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Tiong Nam Logistics Holdings Berhad telah memperoleh pajakan berjangka panjang bagi mewujudkan gudang pengagihan mega di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru untuk syarikat multinasional di Asia Pasifik.

 

Hab agihan yang berukuran 1.1 juta kaki persegi itu akan menjadi fasiliti gudang terbesar milik Tiong Nam setakat ini, yang akan berfungsi sebagai pusat pengagihan dan jualan buat pelanggannya.

 

Gudang itu dijangka siap menjelang tahun 2023, menurut Tiong Nam dalam satu kenyataan.

 

Pengarah Urusan Tiong Nam, Ong Yoong Nyock berkata, pihaknya berbesar hati kerana terus mendapat kepercayaan sebagai rakan pertumbuhan untuk syarikat-syarikat terkemuka global.

 

“Penubuhan hab agihan mega ini membuahkan hasil daripada usaha kami untuk membina rangkaian agihan yang kukuh merentasi Asia Pasifik dan akan terus berkhidmat sebagai tapak rujukan utama berdasarkan keupayaan kami untuk menyediakan penyelesaian logistik dan gudang yang terbaik.

 

“Dalam pada itu, rantau Asia Tenggara semakin menonjol dalam strategi kepelbagaian rantaian bekalan syarikat global.

 

“Sehubungan itu, infrastruktur bersepadu dengan keterhubungan merentasi Asia Tenggara dan China akan mendatangkan sokongan kepada pengembangan jangka panjang buat syarikat global di rantau yang pesat membangun ini,” katanya.

 

Perjanjian pajakan antara Tiong Nam dengan pelangggannya difahamkan bakal bermula pada tahun 2023.

 

Gudang berkenaan bakal melengkapi rangkaian logistik dan gudang Tiong Nam di Asia Tenggara dan China sekali gus melonjakkan jumlah keluasan gudangnya kepada 7.3 juta kaki persegi menjelang 2023 daripada 6 juta kaki persegi ketika ini. - DagangNews.com