TM, Digi, Celcom meterai perjanjian akses 5G dengan DNB | DagangNews Skip to main content

TM, Digi, Celcom meterai perjanjian akses 5G dengan DNB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 31 Okt - Telekom Malaysia Bhd. (TM) menandatangani Perjanjian Akses (AA) dengan Digital Nasional Bhd. (DNB) bagi melanggan perkhidmatan 5G terkawal termasuk Produk Rangkaian Borong 5G Nasional.

 

Melalui perjanjian itu, TM berkata, terma dan syarat untuk perkhidmatan telah ditetapkan bermula secara retrospektif pada 7 Oktober 2022 dan akan terus berkuat kuasa sehingga tamat tempoh 10 tahun iaitu pada 6 Oktober 2032.

 

"Di bawah perjanjian ini, DNB akan menyediakan Produk Rangkaian Borong 5G Nasional, produk asas pada Rangkaian Akses 5G DNB.

 

"TM mesti melanggan Produk Rangkaian Borong 5G Nasional untuk mendapatkan akses kepada perkhidmatan 5G lain ditawarkan oleh DNB," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.

 

Menurut syarikat telekomunikasi itu, jalinan perjanjian AA menunjukkan komitmen terhadap penciptaan nilai jangka panjang untuk pemegang kepentingan dengan memanfaatkan teknologi 5G untuk menyampaikan ketersambungan, penyelesaian dan pengalaman pelanggan yang terbaik dalam kelasnya.

 

TM adalah antara empat pengendali rangkaian mudah alih (MNO) yang menandatangani Perjanjian Langganan Saham (SSA) membabitkan 65% pegangan ekuiti dalam DNB pada awal Oktober.

 

Di bawah SSA itu, TM dan YTL Communications Sdn. Bhd. (YES) masing-masing memegang 20% kepentingan manakala Celcom Axiata Bhd. dan Digi Telecommunications Sdn. Bhd. pula dengan masing-masing 12.5% kepentingan dan kerajaan memegang baki 35% lagi dan saham khas dalam DNB.

 

Terdahulu, dalam kenyataan pagi tadi, U Mobile mengumumkan telah menandatangani Perjanjian Akses 5G dengan DNB semalam yang akan menyaksikan perkhidmatan 5G tersedia secara komersial kepada pelanggannya mulai 3 November ini.

 

Sementara itu, dalam makluman berasingan di Bursa Malaysia, Digi.Com Bhd. memaklumkan anak syarikat milik penuhnya, Digi Telecommunications menandatangani perjanjian AA dengan DNB bagi ases rangkaian borong tunggal 5G.

 

Menurutnya, perjanjian itu membolehkan Digi Telecommunications memperkayakan portfolio perkhidmatan semasanya dengan penggunaan beransur-ansur perkhidmatan runcit 5G untuk pelanggan pengguna dan perusahaan.

 

"Dasar 5G SWN dan perjanjian ini mungkin membawa kepada peralihan beransur-ansur dalam model operasi Digi daripada model pemilikan rangkaian tradisional ke arah model pemajakan rangkaian radio, apabila trafik 5G berkembang," jelasnya.

 

Turut mengikut jejak yang sama, Axiata Group Bhd. juga mengumumkan anak syarikat milik penuhnya, Celcom Axiata memeterai perjanjian itu dengan DNB bagi membolehkan Celcom mendapat akses borong kepada rangkaian 5G DNB.

 

"Sebagai salah satu penyedia perkhidmatan telekomunikasi terkemuka di negara ini, Celcom berusaha memberi perkhidmatan kepada pelanggan mereka dengan teknologi terkini, dan perjanjian ini membolehkan Celcom menyediakan perkhidmatan 5G kepada pelanggannya," katanya. - DagangNews.com