TM perkenal program pembangunan kepimpinan untuk perkasa generasi baharu pemimpin wanita  | DagangNews Skip to main content

TM perkenal program pembangunan kepimpinan untuk perkasa generasi baharu pemimpin wanita 

Sarinah Abu Bakar (kiri) mengendalikan forum DigitALL: Innovation and technology for gender equality pada sambutan Hari Wanita Sedunia TM pada 8 Mac 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 9 Mac - Telekom Malaysia Bhd (TM) melancarkan program pembangunan kepimpinan 'ASPIRE: A Women’s Advancement Programme' untuk memupuk generasi baharu pemimpin wanita, dan memanfaatkan perspektif serta pengalaman unik mereka dalam memperkayakan inovasi dan kemampanan jangka panjang TM.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Imri Mokhtar berkata, dengan penyertaan awal 30 kakitangan berprestasi tinggi untuk program itu, para peserta akan dipersiapkan untuk mengembangkan imej profesional dan peribadi mereka.

 

Katanya, para peserta juga akan meneroka kemahiran untuk memimpin, mempengaruhi, berunding dan mengemudi tempat kerja hari ini, serta memperoleh peluang untuk berhubung dengan rakan sekerja, mentor dan penaja untuk kemajuan kerjaya mereka di masa hadapan.

 

"Dengan 37% daripada pihak pengurusan kanan kami yang terdiri daripada kaum wanita, kami berbesar hati melancarkan ASPIRE: A Women’s Advancement Programme by TM. 

 

"Program ini adalah inisiatif terbaharu TM dalam usaha berterusannya untuk memperkasakan kaum wanita, termasuk menyokong komuniti yang lebih luas," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Imri, acara tersebut adalah sebahagian daripada komitmen berterusan pihaknya untuk memperkaya kemakmuran dan kehidupan warga TM dan seluruh negara. 

 

Katanya, kejayaan perjalanan transformasi TM adalah bertunjangkan tenaga kerja mereka yang berdedikasi, para pelanggan setia dan komuniti tempatan. 

 

 

TM
Teo Nie Ching (tengah) melancarkan sambutan Hari Wanita Sedunia TM dan ASPIRE: A Women’s Advancement Programme by TM, sambil diperhatikan oleh Tengku Muneer Tengku Muzani (kiri), Datuk Imri Mokhtar (dua, kiri), Sarinah Abu Bakar (dua, kanan) dan Shanti Jusnita Johari (kanan) pada 8 Mac 2023.

 

 

"Oleh itu, adalah menjadi peranan dan kewajipan kami untuk memperkasakan kehidupan kakitangan dan komuniti kami, memastikan keterangkuman digital yang lebih luas, dan menyediakan mereka untuk kecemerlangan dalam masa depan digital," katanya.

 

Menyuarakan mengenai sentimen kesaksamaan dalam sektor digital, Imri menjelaskan, ketika TM memacu ke arah menjadi TechCo yang berpaksikan insan, pihaknya percaya bahawa faktor paling penting untuk masa depan digital ialah pertumbuhan dan keupayaan bakat-bakat mereka.

 

Terdahulu, TM menyertai organisasi di seluruh dunia untuk meraikan Hari Wanita Sedunia, memberi penghormatan kepada kaum wanita di TM serta mereka yang menerajui bidang inovasi dan teknologi.

 

Menyokong usaha Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengiktiraf para wanita yang memperjuangkan kemajuan teknologi transformatif dan pendidikan digital, acara itu bertemakan 'DigitALL: Innovation and technology for gender equality' dan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching.

 

Turut hadir, Ketua Pegawai Korporat dan Kawal Selia TM, Tengku Muneer Tengku Muzani; Ketua Pegawai Modal Insan TM, Sarinah Abu Bakar dan Ketua Pegawai Pemasaran TM, Shanti Jusnita Johari. - DagangNews.com