SHAH ALAM 13 Okt. - Pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan terus menerima bil secara penghantaran fizikal oleh pembaca meter sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya yang berkuatkuasa 14 Oktober hingga 27 Oktober 2020.
Bacaan meter elektrik di kediaman atau premis pengguna akan dilakukan oleh pembaca meter TNB seperti biasa sepanjang tempoh PKPB, dengan mengambil kira garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna dan pembaca meter terjamin.
Dengan itu, bil pengguna adalah berdasarkan bacaan sebenar dan bukan bacaan anggaran.
TNB ingin menasihatkan pengguna untuk mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah sepanjang tempoh PKPB memandangkan penggunaan elektrik isi rumah mungkin meningkat lebih tinggi daripada kebiasaan, sama ada bagi mematuhi arahan duduk di rumah, bekerja dari rumah mahupun menghadiri sesi pembelajaran secara maya.
Justeru, dengan mengambil iktibar pengalaman semasa PKP mula dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020, orang ramai disarankan untuk lebih peka dengan corak penggunaan elektrik dan mengamalkan panduan yang praktikal seperti:
1. Memastikan semua pintu, tingkap dan lubang edaran udara tertutup rapi ketika menggunakan pendingin hawa supaya hawa sejuk tidak keluar dari bilik. Gunakan kipas bagi membantu menyejukkan hawa bilik agar suhu pendingin hawa dapat dilaraskan lebih tinggi (antara 24 ke 26 darjah Celcius) bagi menjimatkan tenaga;
2. Membersihkan penapis pendingin hawa bagi memaksimumkan proses penyejukan. Penapis yang kotor menghalang aliran udara dan mengurangkan kecekapan pendingin hawa;
3. Mengelakkan mencuci pakaian menggunakan air panas, melainkan sekiranya perlu dan menggunakan mesin basuh dengan muatan penuh;
4. Mengurangkan penggunaan pengering pakaian. Ambil kesempatan cuaca panas untuk mengeringkan pakaian secara semulajadi;
5. Menutup suis dan menanggalkan palam peralatan elektrik apabila tidak digunakan serta tidak membiarkan peralatan elektrik seperti kipas dibiarkan terpasang di dalam bilik yang kosong; dan
6. Sekiranya mandi menggunakan alat pemanas air, kurangkan tempoh mandian.
Para pengguna boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kaedah penggunaan tenaga yang berhemah dan bijak dengan melayari pautan https://www.mytnb.com.my.
Dalam pada itu, pengguna akan terus menikmati Diskaun Rangsangan Ekonomi sehingga 50 peratus untuk penggunaan elektrik bulanan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.
Inisiatif kerajaan yang memberi manfaat kepada lebih 7 juta pengguna kediaman ini diteruskan bagi membantu rakyat menyesuaikan diri dengan pemulihan semula ekonomi negara ketika ini. Maklumat lanjut mengenai Diskaun boleh diperolehi di www.tnb.com.my/prihatin.
Pengguna juga digalakkan untuk melakukan sebarang transaksi TNB secara dalam talian (online) sepanjang PKPB bagi mengurangkan keperluan untuk melakukan transaksi secara bersemuka di Kedai Tenaga. Urusan transaksi boleh dilakukan menerusi portal atau aplikasi myTNB.
Bagaimanapun, Kedai Tenaga di kawasan terlibat akan terus beroperasi waktu operasi biasa bagi kemudahan para pelanggan bermula 9 pagi hingga 4 petang manakala kiosk TNB antara 8:15 pagi sehingga 10 malam.
Sekiranya berlaku gangguan bekalan elektrik, pengguna boleh menghubungi TNB CareLine di 15454 atau layari Facebook TNB CareLine. - DagangNews.com