TNB catat untung lebih tinggi RM958.7 juta | DagangNews Skip to main content

TNB catat untung lebih tinggi RM958.7 juta

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Mei - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) merekodkan untung bersih lebih tinggi pada suku pertama berakhir 31 Mac 2021, melonjak 33.5% kepada RM958.7 juta berbanding RM717.9 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagaimanapun menyusut dalam kadar yang kecil kepada RM11.48 bilion pada suku berkenaan berbanding RM11.65 bilion tahun lalu. 

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, TNB berkata, perbelanjaan operasi berkurangan daripada RM9.54 bilion kepada RM9.15 bilion atau 4.2% terutama disebabkan kos penjanaan yang rendah.

 

"Oleh itu, keuntungan operasi lebih tinggi sebanyak RM2.33 bilion, meningkat RM104 juta atau 4.7% berbanding tempoh sama tahun sebelumnya," katanya.

 

Menurut TNB, keuntungan selepas cukai bagi suku semasa juga meningkat RM236.8 juta kepada RM973.5 juta berbanding RM736.7 juta tahun lalu. 

 

"Ini disebabkan penurunan ketara dalam kerugian yang diterjemahkan dalam mata wang asing sebanyak RM331.2 juta dan peningkatan keuntungan perakaunan atas nilai saksama instrumen kewangan sebanyak RM135.3 juta," tambahnya. 

 

Mengenai prospek masa depan, TNB berkata, di sebalik pelaksanaan semula perintah kawalan pergerakan (PKP), kesan terhadap pertumbuhan dijangka kurang berbanding tahun lalu memandangkan lebih banyak sektor ekonomi dibenarkan beroperasi. 

 

"Sehubungan itu, Ahli Lembaga Pengarah melihat prestasi kumpulan akan kembali pulih secara berperingkat tahun ini, disokong oleh pemulihan ekonomi negara dan juga di seluruh dunia. 

 

"Dalam hal ini, kumpulan telah mengambil langkah berhemah dari segi keperluan operasi dan kewangan bagi memastikan TNB kekal berdaya tahan," katanya. - DagangNews.com