TNB dijangka terus terima manfaat daripada kerancakan pembangunan pusat data, kata RHB Investment | DagangNews Skip to main content

TNB dijangka terus terima manfaat daripada kerancakan pembangunan pusat data, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Ogos - Tenaga Nasional Bhd (TNB) dijangka terus menerima manfaat daripada peningkatan permintaan tenaga daripada kerancakan pembangunan pusat data (DC). 

 

RHB Investment berkata, pada suku kedua 2024, permintaan tenaga elektrik bertambah 6.3%, sebahagian besarnya disebabkan oleh segmen komersial (+10%) dan tempatan (+11.9%) yang lebih kukuh dengan permintaan mencecah paras puncak baharu 20,066MW pada Julai. 

 

"Keupayaan semasa tenaga boleh baharu (RE) TNB rata-ratanya tidak berubah dari suku tahun ke suku tahun pada 4.3GW (21% jumlah kapasiti).

 

"Kini, terdapat kapasiti RE sebanyak 6.2GW yang diterima termasuklah kapasiti dalam peringkat pembinaan dan pembangunan," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Untung bersih suku kedua TNB melonjak 340.4% kepada RM1.44 bilion

 

Terdahulu, pendapatan syarikat utiliti tersebut pada suku tahun berakhir 30 Jun 2024 sebanyak RM14.37 billion.

 

Jumlah tersebut merupakan peningkatan sebanyak 7.8% daripada RM13.3 billion pada suku kedua FY23.
  

Firma penyelidikan itu berkata, sementara menunggu keputusan berhubung Tempoh Kawal Selia (RP) 4 yang akan diumumkan sebelum akhir 2024, kemungkinan terdapat beberapa penstrukturan semula dilakukan pada tarif berikutan pelaksanaan inisiatif-inisiatif baharu seperti eksport tenaga dan caj pembekalan tenaga di bawah mekanisme capaian pihak ketiga (TPA). 

 

Katanya, dianggarkan purata perbelanjaan (capex) yang dikawal akan meningkat antara 25% hingga 40% berbanding semasa paras RP 3, kepada MYR8.6 bilion hingga RM9.6 bilion setahun dengan permintaan tahunan berkembang lebih tinggi antara 3% hingga 4% dan kos modal purata wajaran (WACC) sebanyak 7.3%. 

 

"Pulangan bersih kawal selia dijangkakan bertambah sebanyak 1.34% bagi setiap kenaikan RM1 bilion dalam purata capex tahunan," katanya.

 

RHB Investment naikkan anggaran perolehan FY24-FY26 sebanyak 5%, 1% dan 3% selepas mempertimbangkan hasil lebih tinggi.

 

Bagaimanapun, kumpulan itu dijangka berdepan beberapa risiko termasuk kos mengurus lebih tinggi dan penutupan sementara operasi kilang berlarutan lebih lama daripada yang disangkakan.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM16.70 sesaham dengan harga saham berpotensi naik  20% dan kadar hasil dividen sekitar 4% untuk FY25," katanya.- DagangNews.com