TNB kini menyokong tambahan tenaga 12GW melalui loji solar baharu, selain 4GW tenaga RE sedia ada | DagangNews Skip to main content

TNB kini menyokong tambahan tenaga 12GW melalui loji solar baharu, selain 4GW tenaga RE sedia ada

oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 20 Nov - TNB kini boleh menyokong tambahan tenaga sebanyak 12GW melalui loji solar baharu dan penyimpanan bateri di titik nod tertentu dalam infrastruktur domestiknya, selain daripada 4GW tenaga boleh diperbaharui (RE) sedia ada.

 

Syarikat utiliti negara itu telah secara proaktif sedang mengenal pasti lebih banyak titik nod demi mencapai matlamat nasional 70% kapasiti RE menjelang 2050 dan memenuhi permintaan tenaga negara jiran apabila diperlukan.

 

Ini adalah kaedah TNB dalam usahanya terus mengukuhkan komitmen dalam menerajui inisiatif-inisiatif pembangunan mampan di ASEAN. Syarikat ini siap siaga membentuk kerjasama dengan kerajaan, para pelabur dan pemegang taruh utama untuk menyegerakan Peralihan Tenaga (ET) yang bertanggungjawab di samping menangani trilema tenaga.

 

Dalam ucapan di persidangan ENLIT ASIA 2023 baru-baru ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Dato' Seri Ir. Baharin Din mengutarakan cabaran penting dalam menyegerakan ET yang bertanggungjawab bagi mengimbangi trilema tenaga yang menyeimbangkan keterjaminan, kelestarian dan kebolehmampuan tenaga.


 

Dato' Seri Ir. Baharin Din
                            Dato' Seri Ir. Baharin Din

 

Beliau menekankan keperluan ET yang bertanggungjawab bagi menangani peningkatan permintaan elektrik yang mana TNB bersedia untuk memenuhinya sambil mengurangkan pelepasan karbon.

 

"Di rantau ASEAN, matlamatnya adalah untuk menyalurkan 3,000 GigaWatt (GW) tenaga bersih. Ketika ini, ASEAN telah memiliki 95GW bahan bakar termal dan 188GW tenaga boleh baharu (TBB). Menjelang 2050, rantau ini menyasarkan pencapaian lebih daripada 2,700GW RE,” kata Baharin.

 

Polisi, Teknologi Hijau dan Pembiayaan: Penting bagi Kejayaan ET

Polisi, teknologi hijau dan pembiayaan adalah pemboleh utama bagi kejayaan ET. Baharin menekankan bahawa pelaburan besar diperlukan untuk mencapai matlamat Sifar Bersih ASEAN menjelang 2050.

 

Beliau optimis berlakunya perubahan landskap dengan kerajaan giat membuat dasar yang menyokong pertumbuhan bisnes rendah karbon.

 

Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia memberi tumpuan kepada RE, kecekapan tenaga (EE), hidrogen, bio tenaga, mobiliti hijau dan pemerangkapan karbon. Baharin menjelaskan peranan transformasi inisiatif-inisiatif ini dalam peralihan Malaysia ke arah ekonomi lestari dan hijau.

 

"Kolaborasi serantau melalui platform seperti HAPUA (Heads of ASEAN Power Utilities/Authorities), SOME (Senior Officials Meeting on Energy) dan AMEM (ASEAN Ministers on Energy Meeting) telah mempercepatkan proses menuju objektif tenaga mampan," ujar Baharin lagi.

 

Kerjasama Strategik: Memajukan Matlamat Peralihan Tenaga Malaysia

Malaysia memainkan peranan penting dalam melaksanakan objektif kolektif ET di rantau ini.

 

Baharin berkata negara ini sedang memperkasakan infrastruktur penghantaran bagi mengukuhkan kerjasama serantau dan menyokong sambung tara sistem tenaga merentasi sempadan melalui Grid Tenaga ASEAN (APG).


 

parafrasa

 


Kerjasama strategik adalah kunci mencapai matlamat ET Malaysia. Sehingga kini, TNB telah menandatangani 29 Memorandum Persefahaman (MoU) dengan organisasi tempatan dan antarabangsa dalam pelbagai bidang ET seperti taman solar, integrasi hidrogen dan ammonia dalam loji tenaga, sambung tara dan kenderaan elektrik.

 

"TNB percaya bahawa pendekatan secara kolaboratif dengan sokongan dasar, kemajuan teknologi dan pembiayaan yang mencukupi, adalah penentu kejayaan ET di samping menangani trilema tenaga," kata Baharin. -DagangNews.com