TNB pasang panel solar bumbung bangunan Malaysia Airports | DagangNews Skip to main content

TNB pasang panel solar bumbung bangunan Malaysia Airports

Megat Jalaluddin Megat Hassan (tiga, kanan) dan Boo Hui Yee (tiga,kiri) bertukar dokumen Perjanjian Bekalan Tenaga Solar (SSA) antara GSPARX Sdn Bhd dan Malaysia Airlines Berhad (MAB) bagi pemasangan panel solar bumbung di empat bangunan MAB di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) disaksikan Amir Hamzah Azizan (dua,kanan) dan Izham Ismail (dua, kiri).

 

SEPANG 25 Sept. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi syarikat retail tenaga boleh diperbaharuinya, GSPARX Sdn Bhd (GSPARX) memeterai perjanjian dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB) untuk pemasangan panel solar pada empat bangunan MAB di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Di bawah Perjanjian Bekalan Tenaga Solar (SSA), MAB dijangka dapat menjimatkan kira-kira RM15 juta bil elektrik sepanjang 21 tahun kontrak melalui kepakaran GSPARX dalam pemasangan dan operasi panel solar bumbung.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Pegawai Kewangan Malaysia Airlines, Boo Hui Yee dan Ketua Pegawai Retail TNB, Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan di Kompleks Kejuruteraan Malaysia Airlines, KLIA South Support Zone, semalam.

Majlis disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group (MAG) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad, Kapten Izham Ismail dan Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Panel solar fotovoltaik (PV) yang bakal dipasang mempunyai kapasiti 2.210 megawatt peak (MWp) yang mampu menjana hampir 2.86 gigawatt jam (GWh) tenaga hijau setahun. Projek ini adalah pemasangan terbesar pada satu lokasi buat GSPARX. 

Projek ini akan memanfaatkan MAB dalam usaha jangka panjang mereka untuk mengurangkan pelepasan CO2. Sebaik siap pada April 2021, tenaga hijau yang dijana daripada projek ini dijangka dapat mengimbangi pelepasan karbon dioksida sebanyak kira-kira 2,022 tan metrik untuk tahun pertama, atau kira-kira 56,638 tan metrik pelepasan sehingga 2050. Ini bersamaan dengan mengurangkan 12,197 kereta di jalan raya atau menanam sebanyak 933,520 pokok, kata Amir Hamzah.

Beliau berkata, ketika banyak negara berdepan masa sukar akibat wabak COVID-19, syarikat korporat seperti Malaysia Airlines dan TNB mengambil pendirian kukuh terhadap usaha menangani perubahan iklim, terutamanya dalam pengurangan pelepasan karbon.

“TNB mengambil pendirian teguh dengan aspirasi yang diperbaharui untuk menjadi penyedia penyelesaian tenaga lestari di peringkat Malaysia dan antarabangsa. Sehingga kini, kami akan memacu perubahan ketara dalam portfolio penjanaan tenaga ke arah lebih banyak tenaga boleh diperbaharui dan ia jelas dizahirkan dengan bermulanya pengoperasian loji jana kuasa arang batu TNB yang terakhir di atas tapak baharu, Jimah East Power Plant di Negeri Sembilan.

Amir Hamzah berkata TNB sedang giat memperkukuhkan portfolio RE di dalam dan luar negara dengan sasaran untuk mencapai 1,700 MW menjelang 2025 dan menyokong sasaran negara untuk mencapai penjanaan 20% RE menjelang 2025.

Selain aset penjanaan berskala besar, TNB juga aktif menyokong pertumbuhan RE di peringkat penjanaan teragih melalui kerjasama seperti yang dilakukan dengan MAB bagi membolehkan pengguna menjadi pengeluar swaguna (prosumer).

Amir Hamzah menegaskan kerjasama dalam bidang RE dilaksanakan TNB turut menjadi teras kepada pertumbuhan aktiviti ekonomi yang menjurus kepada pembentukan hab penghasilan solar di Malaysia.

“Ini adalah selaras dengan enam fokus tumpuan TNB yang dilakukan untuk membantu pemulihan ekonomi negara selepas kesan PKP dan wabak COVID-19. Selain pembinaan hab solar global, fokus lain termasuk pelaburan untuk menaik taraf grid, kecekapan tenaga, menguasakan mobiliti, memperkasakan kesalinghubungan dan latihan semula.”

Kapten Izham berkata, “Ini adalah satu lagi langkah penting dalam perjalanan kami untuk menjadi syarikat penerbangan yang hijau dan mampan. Kelestarian merangkumi keseluruhan rantaian bekalan perniagaan dan kami percaya apa jua yang bermanfaat kepada alam sekitar akan memberi kesan positif terhadap kewangan syarikat.

“Malaysia Airlines dan anak-anak syarikat lain yang bernaung di bawah MAG telah memperkenalkan lebih 40 inisiatif untuk mengurangkan jejak karbon sepanjang tiga tahun lalu – daripada penggunaan teknologi kapal terbang terkini (dengan kapal terbang A350-900), menaik taraf proses operasi, penggunaan bahan api yang mampan dan berusaha mencapai sasaran yang menjadi sebahagian daripada program Carbon Offsetting and Reduction Scheme for International Aviation (CORSIA).

“Peristiwa penting ini membuktikan MAG mengambil langkah ke hadapan dalam usaha jangka panjangnya untuk berperanan lebih besar dalam usaha kelestarian alam sekitar untuk Malaysia dan industri penerbangan, seperti yang dizahirkan menerusi kerjasama dengan GSPARX hari ini,” jelas Izham. - DagangNews.com