TNB, Petronas bergabung bantu negara capai aspirasi bebas karbon lebih cepat | DagangNews Skip to main content

TNB, Petronas bergabung bantu negara capai aspirasi bebas karbon lebih cepat

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Tenaga Nasional Bhd. (TNB) dan Petronas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk mengukuhkan kerjasama dalam memacu penyelesaian inovatif ke arah penyahkarbonan bagi menyokong aspirasi Malaysia menjadi negara neutral karbon menjelang 2050.

 

Ini akan dicapai terutamanya melalui kajian kerjasama untuk pembangunan ekosistem hidrogen hijau dan teknologi penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) yang memanfaatkan kepakaran teknikal dan sumber kedua-dua organisasi.

 

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerjasama itu akan membantu mempercepatkan usaha kerajaan dalam aspirasinya untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

 

Katanya, usaha itu juga dilihat tepat pada masanya kerana kerajaan dijadualkan melancarkan Dasar Tenaga Negara 2021-2040 tidak lama lagi yang akan menggariskan peralihan Malaysia kepada tenaga hijau.

 

"Aspirasi ke arah mencapai pelepasan sifar karbon ini memerlukan kerjasama rapat dalam kalangan pihak berkepentingan terutama sektor tenaga, komponen penting dalam ekonomi negara yang memberi kesan pengganda kepada sektor lain.

 

"Kerajaan yakin kerjasama kedua-dua syarikat tenaga ini akan mempercepatkan pengurangan intensiti pelepasan semasa nyahkarbon," katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan majlis menandatangani MoU antara TNB dan Petronas, hari ini.

 

MoU itu ditandatangani antara Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik yang disaksikan Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengurusan Pihak Berkepentingan TNB, Datuk Roslan Ab Rahman dan Naib Presiden Kanan Penyampaian Projek dan Teknologi Petronas, Bacho Pilong.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri menyatakan aspirasi negara ke arah pelepasan sifar karbon menjelang 2050 semasa membentangkan Rancangan Malaysia ke-12, pada September lalu.

 

Sehubungan itu, kerjasama tersebut menandakan komitmen TNB dan Petronas bagi mencapai aspirasi negara dan membolehkan kedua-dua pihak menerapkan ketangkasan merentasi rantaian nilai untuk menjalankan dan mengembangkan perniagaan dengan cara yang menyumbang secara positif kepada masyarakat dan alam sekitar.

 

Di bawah MoU itu, TNB dan Petronas akan menjalankan kajian kebolehlaksanaan secara bersama mengenai aplikasi penyelesaian CCS di loji penjanaan kuasa TNB.

 

Pihak berkenaan juga akan mengkaji untuk membangunkan bahan api hidrogen hijau bagi penjanaan kuasa dan menggiatkan usaha mencipta ekosistem hidrogen hijau dalam menyediakan penyelesaian tenaga yang lebih bersih untuk Malaysia dan pasaran di luar negara.

 

Inisiatif itu akan dimulakan dengan penjanaan semula Stesen Janakuasa Sultan Ismail TNB yang telah menamatkan operasi di Paka, Terengganu menggunakan Turbin Gas Kitaran Gabungan yang cekap dengan teknologi sedia hidrogen menjelang 2029 ke arah pengeluaran tenaga yang lebih bersih.

 

Dengan memanfaatkan kekuatan TNB dan Petronas, loji janakuasa Paka berfungsi sebagai projek perintis unik dalam menggunakan teknologi hijau yang mungkin digunakan dalam loji janakuasa masa hadapan.

 

Secara dasarnya, TNB dan Petronas mempunyai pelaburan yang besar di Terengganu. Dengan penjanaan semula loji janakuasa Paka TNB dan aspirasi Petronas untuk menyahkarbonkan asetnya di Terengganu, peralihan kepada pembangunan teknologi hijau memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan di negeri tersebut. - DagangNews.com