Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan TNB kepada Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah, Dr. Zaiton Udin di Alor Star, pada 1 Ogos.
ALOR SETAR 2 Ogos - Prihatin dengan keperluan mendesak dua hospital di Kedah untuk menempatkan mayat mangsa COVID-19, Tenaga Nasional Berhad (TNB) tampil menghulurkan sumbangan.
Pada Ahad, dua buah kontena sejuk beku masing-masing diserahkan kepada Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani.
Majlis ringkas sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid kepada Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah, Dr. Zaiton Udin.
Turut hadir, Pengurus Besar Negeri, Stake Holder Utara, Ir. Azmi Mohd Yusof dan Pengurus Negeri Stake Holder Utara, Ku Abdul Razak Ku Ismail.
Manakala sumbangan di Hospital Sultan Abdul Halim Sungai Petani disampaikan oleh Pegawai Khas Pengerusi TNB, Datuk Shahanim Mohd Yusuf dan Muhamad Nur Aizat Noor Azam kepada Pengarahnya Dr. Azlina Muhamad Radzi.
Menurut Datuk Seri Mahdzir, TNB mengambil maklum keperluan mendesak kedua-dua buah hospital untuk menempatkan mayat mangsa Covid-19 yang semakin meningkat saban hari.
"TNB sentiasa peka dengan situasi semasa pandemik Covid-19 ini dan kita ambil maklum akan keperluan hospital tersebut".
"Jadi saya berbincang dengan pihak pengurusan tertinggi TNB untuk kita ambil tindakan segera dalam masa dua hari sahaja kita putuskan untuk menyerahkan sumbangan kontena sejuk beku itu dan saya berterima kasih kepada Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din yang banyak membantu", katanya dalam satu kenyataan kepada media.
Selain kontena sejuk beku, dua unit Alat Penafas Berpemekatan-Udara (PAPR) yang amat diperlukan di Hospital Sultanah Bahiyah turut disumbangkan.
Peralatan khas tersebut digunakan oleh doktor dalam pembedahan kes-kes berkaitan COVID-19.
Keseluruhan sumbangan dua kontena dan dua peralatan tersebut adalah bernilai RM165,000.00.
"Kita berharap dengan sumbangan daripada TNB itu akan dapat menyelesaikan masalah kritikal yang dihadapi oleh kedua-dua hospital dan juga pada masa yang sama menghilangkan kerisauan orang ramai di negeri itu berkaitan pengurusan mayat mangsa COVID-19," ujarnya. - DagangNews.com