TNB terangi penglihatan pelajar di Langkawi | DagangNews Skip to main content

TNB terangi penglihatan pelajar di Langkawi

 

KUALA LUMPUR 20 Dis. - Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan inisiatif membantu pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan (B40), dengan pemberian cermin mata percuma menerusi program Better. Brighter. Vision di Langkawi, Kedah.

 

Pada 13 Disember lalu, seramai 106 pelajar sekolah rendah dan 115 pelajar sekolah menengah dari pulau peranginan itu menerima manfaat daripada program yang bermula sejak tahun 2019, hasil kerjasama antara TNB dan Hospital Mata Nasional Tun Hussein Onn.

 

Sumbangan disampaikan Ahli Lembaga Pengarah TNB, Datuk Ir. Nawawi Ahmad kepada Guru Besar dan Pengetua dari 16 sekolah rendah dan tujuh sekolah menengah yang terlibat.

 

TNB
Nawawi Ahmad

 

“Program sumbangan cermin mata percuma ini diperkenalkan TNB tahun lalu bertujuan membantu proses pembelajaran pelajar, sekali gus mendapat manfaat dalam pendidikan.

 

“Diharapkan sumbangan ini dapat menjadi asbab untuk anak-anak meneruskan pembelajaran dengan jelas dan yakin, demi mengejar cita-cita dan seterusnya mengubah nasib keluarga ke arah yang lebih sejahtera,” kata Nawawi.

 

Turut hadir dalam majlis penyampaian, Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pembangunan Murid) Kedah, Ahmad Shukri Shafie dan Pengurus Besar (Hal Ehwal Korporat) TNB, Datuk Omar Sidek.

 

TNB
Nawawi Ahmad (tengah) melakukan penyerahan simbolik cermin mata kepada Ahmad Shukri Shafie (tiga, kiri) semasa majlis penyampaian sumbangan program Better. Brighter. Vision di Langkawi, Kedah, Ahad lalu dan disaksikan Omar Sidek (dua, kanan) dan Ketua Khidmat Pelanggan TNB Kedah, Wan Ishak Soed (dua, kiri).

 

Jelas Nawawi, TNB memahami kekangan pelajar yang mengalami masalah penglihatan untuk mendapatkan cermin mata memandangkan mereka datang dari keluarga yang kurang berkemampuan, terutamanya mereka yang terjejas pendapatan akibat pandemik COVID-19.

 

Bagi negeri Kedah tahun ini, program Better. Brighter. Vision turut mendapat kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Kedah melibatkan peruntukan sebanyak RM270,850 dengan keseluruhan 2,000 pelajar menerima manfaat.

 

Ahmad Shukri berkata, terbaharu pada 20 Oktober lalu, seramai 700 pelajar dari tiga daerah iaitu Kubang Pasu, Kota Setar dan Kuala Muda/Yan mendapat manfaat daripada program itu.

 

“Langkah TNB yang berusaha menyediakan cermin mata kepada murid terlibat akan membantu mereka untuk menguruskan kehidupan harian dengan lebih baik. Tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga kepada TNB,” katanya.

 

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG Sekolah Menengah Kebangsaan Kelibang, Razmi Rahmat berkata, kebanyakan pelajar yang menerima bantuan ini sememangnya tidak mampu untuk membeli cermin mata.

 

TNB
Razmi Rahmat

 

“Ini adalah satu bantuan yang amat diperlukan dan saya berharap TNB akan meneruskan membantu anak-anak lain dan ia tidak hanya berhenti di sini sahaja,” ujarnya. - DagangNews.com