KUALA LUMPUR 21 Mac - Kos menjalankan perniagaan di Malaysia semakin meningkat yang menyebabkan perniagaan sukar bersaing dalam pasaran antarabangsa.
Pengerusi Top Glove Corporation Berhad, Tan Sri Dr Lim Wee Chai berkata, sehubungan itu, kerajaan diminta lebih konsisten dengan tidak mengubah setiap keputusan atau dasar terlalu cepat seperti mana yang berlaku dalam perubahan hari akhir kemasukan pekerja asing.
Katanya, 'dasar yang lebih stabil' perlu bagi mengelakkan pihak industri yang sudah sedia berdepan tekanan kos operasi yang tinggi berdepan satu lagi kesulitan.
"Jangan ubah perkara terlalu cepat. Apa sahaja dasar (kerajaan) yang anda ingin ubah, sila bincangkan (dengan pemain industri),
"Ini supaya kita dapat mencari penyelesaian menang-menang,” katanya dipetik berkata dalam sidang media pengumuman keputusan kewangan Top Glove bagi suku kedua 2024.
ARTIKEL BERKAITAN: Rugi bersih 2Q Top Glove mengecil kepada RM51.19 juta berikutan jualan lebih kukuh
Sebelum ini, Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) turut membangkitkan isu keputusan Kementerian Dalam Negeri untuk mengemukakan hari terakhir pekerja asing memasuki negara ini dalam tempoh empat bulan.
Menurut FMM, mereka kini mempunyai masa sehingga 31 Mei untuk memasuki negara ini, bukannya 30 September.
Pada 1 Mac 2024, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan bahawa majikan yang telah diberikan kuota untuk membawa masuk pekerja asing mesti memastikan pekerja asing mereka diberikan visa dengan rujukan (VDR) selewat-lewatnya pada 31 Mac, dan mereka perlu masuk ke negara ini menjelang 31 Mei.
Beliau berkata, keputusan itu akan membolehkan kerajaan mengukur dengan tepat keperluan tenaga kerja asing di negara ini sebelum mempertimbangkan keperluan untuk membuka kuota baharu.
Sementara itu, Pengarah Urusan Top Glove, Lim Cheong Guan berkata, syarikat itu akan mengambil pekerja asing dalam tempoh beberapa bulan akan datang kerana ia masih mempunyai baki kuota.
"Jumlah jualan kami juga telah meningkat, jadi kami akan mengambil pekerja dan diharapkan kerajaan tidak akan membuat perubahan dalam masa yang singkat," katanya.
"Apa yang kami harapkan ialah - untuk manfaat semua orang, untuk manfaat negara - dasar yang lebih jelas dari segi perubahan yang diperlukan, dan (untuk) memberikan garis masa yang lebih panjang, supaya industri boleh bersedia untuk itu," komen beliau.- DagangNews.com