Topmix meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Topmix meterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities bagi penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia

Teo Quek Siang (dua dari kiri) bersama Datuk Bill Tan (dua dari kanan), Pengarah Urusan M&A Securities pada majlis pemeteraian perjanjian taja jamin hari ini.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 5 Feb - Topmix Berhad memeterai perjanjian taja jamin dengan M&A Securities Sdn Bhd untuk tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

IPO syarikat produk hiasan permukaan tersebut melibatkan terbitan awam sebanyak 82.7 juta saham biasa baharu dan tawaran untuk penjualan 19.7 juta saham biasa sedia ada.

 

Daripada 82.7 juta saham baharu terbabit, sejumlah 19.7 juta saham akan disediakan kepada orang awam Malaysia menerusi pengudian dengan 7.9 juta saham diperuntukkan kepada pengarah dan kaitan kumpulan berkelayakan.

 

Baki 55.1 juta saham baharu pula akan diperuntukkan menerusi penempatan persendirian kepada pelabur terpilih dan pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

Menurut perjanjian taja jamin itu, M&A Securities akan menaja jamin sejumlah 27.6 juta saham baharu.

 

Topmix terutama melalui anak syarikatnya terlibat dalam pemasaran dan penjualan produk hiasan permukaan jenama sendiri.

 

Syarikat itu juga menjalankan perniagaan reka bentuk permukaan produk hiasan menerusi secara dalaman dan dengan kerjasama dengan pihak ketiga yang membekalkan kertas hiasan.

 

Sebahagian besar hasil Kumpulan disumbangkan oleh penjualan produk lamina bertekanan tinggi (HPL). 

 

HPL, lamina hiasan yang terkenal dengan ketahanan dan keberkesanan di samping mempunyai daya tarikan estetik serta kelebihan tersendiri di atas venir, cat dan salutan.

 

Semua produk HPL Topmix mematuhi piawaian alam sekitar, termasuk UL GREENGUARD, Pensijilan Label Hijau Singapura dan piawaian MyHIJAU.

 

Pengarah Urusan Topmix, Teo Quek Siang berkata, penyenaraian ini meningkatkan kedudukan serta reputasi Topmix dalam kalangan pelanggan dan membuka peluang baharu untuk pertumbuhan perniagaan.

 

“Di Topmix, rangkaian produk hiasan permukaan kami yang pelbagai boleh digunakan untuk komersial dan kediaman yang memenuhi keutamaan pelanggan.

 

"Untuk memberikan pilihan baharu secara konsisten, kami memperbaharui koleksi produk hiasan permukaan secara berkala.

 

"Menerusi pendekatan pemasaran strategik, Kumpulan berjaya mencapai pangkalan pelanggan yang luas termasuk peniaga dan stokis produk perkakasan, pereka dalaman, kontraktor hartanah komersial dan kediaman serta tukang kayu," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Quek Siang, sebahagian daripada hasil IPO akan digunakan untuk mengembangkan rangkaian produk bertujuan untuk meluaskan penawaran produk hiasan permukaan dan menyasarkan segmen pelanggan baharu.

 

"Selain itu, kami telah menggariskan trajektori yang jelas untuk pertumbuhan perniagaan, termasuk mengembangkan operasi ke wilayah utara Semenanjung Malaysia, meningkatkan kesedaran jenama dan produk serta memperluaskan kapasiti gudang di wilayah tengah Semenanjung Malaysia.

 

“Kami optimistik dengan prospek masa depan. Permintaan untuk produk hiasan permukaan mendapat manfaat daripada perkembangan pasaran hartanah kediaman dan komersial. Ini disokong lagi oleh pertumbuhan dalam industri perabot Malaysia yang didorong oleh peningkatan kemewahan rakyat Malaysia," jelasnya.

 

Topmix dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada April 2024 dengan M&A Securities bertindak sebagai penasihat utama, penaja dan ejen penempatan Kumpulan itu.- DagangNews.com