'Tourism Dashboard' permudah akses statistik sektor pelancongan | DagangNews Skip to main content

'Tourism Dashboard' permudah akses statistik sektor pelancongan

'Tourism Dashboard'

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 20 April - Pelancaran Tourism Dashboard membantu mempermudahkan pengguna mengakses indikator dan statistik yang berkaitan dengan sektor pelancongan.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, dashboard berkenaan merupakan gabungan daripada pelbagai sumber data yang melibatkan Akaun Satelit Pelancongan dan Statistik Pelancongan Domesik yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) serta indikator daripada Tourism Malaysia.

 

"Dashboard ini merangkumi data siri masa dan indikator yang signifikan bagi membantu prestasi sektor pelancongan.

 

"Selain itu, manual-manual rujukan daripada badan antarabangsa serta polisi yang dikeluarkan oleh kerajaan berkaitan pelancongan turut dimuatkan ke dalam Tourism Dashboard ini.

 

"Maklumat dalam dashboard ini akan sentiasa dikemaskini berdasarkan ketersediaan data dari masa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Mohd. Uzir Mahidin
Mohd. Uzir Mahidin.

 

Pelancaran Tourism Dashboard disempurnakan oleh Mohd. Uzir sendiri yang turut disaksikan oleh wakil Tourism Malaysia dan persatuan industri pelancongan.

 

Mengulas berkaitan dengan situasi semasa penularan pandemik, beliau memberitahu, Malaysia merupakan salah sebuah daripada 200 negara yang sedang bergelut dengan wabak COVID-19.

 

Jelasnya, industri pelancongan merupakan antara sektor yang terjejas teruk sejak penutupan sempadan bagi kemasukan pelancong asing bermula 18 Mac tahun lalu.

 

Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan bagi membantu sektor pelancongan termasuk Penjana, Permai dan Pemerkasa.

 

Tambah beliau lagi, pelaksanaan kawalan kemasukan pelancong luar yang diperketatkan disemua pintu masuk menuntut kerajaan menyusun pelan strategi khusus bagi menyemarakkan pelancongan domestik.

 

Dalam pada itu, gelembung pergerakan pelancongan bersasar domestik dibenarkan oleh pihak kerajaan untuk pelancong yang berada di negeri PKPP sahaja dengan menggunakan perkhidmatan agensi pengembaraan yang berdaftar di samping mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

 

"Usaha ini dijangka dapat menyokong ke arah pemulihan industri ini secara berperingkat seperti sektor perhotelan, pengangkutan penumpang, agensi pengembaraan dan sebagainya.

 

"Secara tidak langsung, keberkesanan inisiatif ini mampu  mengekalkan  kelangsungan  terhadap    kebergantungan    tenaga    kerja seterusnya mengurangkan insiden pengangguran," ujar beliau lagi. - DagangNews.com