'Tourism frontliners' diberi keutamaan vaksinasi | DagangNews Skip to main content

'Tourism frontliners' diberi keutamaan vaksinasi

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Jun - Kakitangan industri pelancongan atau 'tourism frontliners' yang sedang bertugas dalam tempoh PKP 3.0 bagi tujuan kuarantin, pengasingan dan pekerjaan untuk perkhidmatan penting diberi keutamaan suntikan vaksin.

 

Golongan berkenaan melibatkan tenaga kerja sektor perhotelan, petugas Meetings, Incentives, Conferencing and Exhibition (MICE) dan penerbangan menerusi pelaksanaan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). 

 

Perkara itu diumumkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang akan bekerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

Menteri MOTAC, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, komitmen tersebut boleh menjadi pemangkin buat industri pelancongan negara untuk kembali bangkit, seterusnya membantu negara dalam mempercepatkan fasa pemulihan ekonomi.

 

"Pelaksanaan ini dirancang bagi membantu untuk memulihkan industri pelancongan yang telah terjejas teruk akibat penularan pandemik COVID-19.

 

"Ia akan dimulakan selepas fasa suntikan untuk anggota barisan hadapan dan golongan berisiko tinggi selesai dilaksanakan," jelas beliau dalam satu kenyataan.

 

Pemberian suntikan vaksin bagi fasa pertama akan melibatkan petugas dalam kategori berikut :-

  • Petugas hotel sebagai Pusat Kuarantin (berdaftar dengan MOTAC)
  • Petugas hotel bukan Pusat Kuarantin tetapi beroperasi sepanjang PKP 3.0 (berdaftar dengan MOTAC)
  • Petugas industri penerbangan yang masih bertugas bagi bulan Jun 2021 (MAS, AirAsia, Malindo)
  • Petugas MICE yang bertugas di PPV

 

Fasa seterusnya akan melibatkan mereka yang berada dalam sub-sektor lain di bawah MOTAC berdasarkan kepada kelonggaran pengoperasian sektor ekonomi selepas PKP 3.0.

 

Dalam pada itu, MOTAC menerusi agensinya, Malaysia Convention and Exhibition Bureau (MyCEB) berganding bahu bersama pemain industri menawarkan Pusat-pusat Persidangan dan Pameran sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) untuk meningkatkan kadar vaksinasi kepada seluruh rakyat Malaysia.

 

"Antaranya termasuklah Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru, Pusat Konvensyen Setia Spice, Pulau Pinang, Pusat Konvensyen Seberang Perai Arena, Pulau Pinang, Pusat Konvensyen Borneo Kuching, Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah, Pahang dan Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, Pahang.

 

"Langkah ini boleh membantu MOSTI dan KKM melancarkan proses pemberian suntikan vaksin di seluruh negara," jelas Nancy lagi. - DagangNews.com