TAIPING 28 Ogos - Toyo Tyre Malaysia Sdn. Bhd. (TTM) hari ini melancarkan pelaburan projek solar atau bumbung di kilang pembuatannya di Kawasan Perindustrian Kamunting Raya di sini.
Pelaburan sebanyak RM30 juta untuk pemasangan panel solar Fotovoltaik (PV) atas bumbung yang juga terbesar di negeri Perak.
Dengan pemasangan panel PV pihak TTM ke arah penggunaan 100% tenaga boleh diperbaharui (REE) dalam kilang pembuatan di Malaysia menjelang Januari 2025.
Presiden TTM, Mike Toh berkata, Toyo Tyre Corporation berusaha untuk mencipta bukan sahaja nilai ekonomi melalui pengurusan dan operasi perniagaannya tetapi juga meningkatkan nilai sosial dan persekitaran.
Katanya, ini dapat memupuk kemampuan kumpulan melalui inisiatif korporat teras kemampanan alam sekitar, sosial dan tata kelola (ESG) di seluruh kilang pembuatannya di Jepun, China, Amerika Syarikat dan Malaysia.
"Salah setu matlamat pembangunan mampan Toyo Tyres adalah menyasarkan 100% REE di kilang pembuatan Malaysia menjelang tahun 2025.
"Ini merupakan projek terbesar di Perak melibatkan pelaburan sebanyak RM30 juta untuk FV Solar berkapasiti 14 MV di atas bumbung kilang," ujarnya semasa berucap pada majlis pelancaran tersebut.
Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad telah hadir menyempurnakan majlis pelancaran itu.
Sebanyak 26,044 keping unit panel solar akan dipasang di atas bumbung kilang seluas 96,000 meter persegi dan menjadi yang pertama terbesar di Perak setakat hari ini.
Ia boleh mengurangkan kira-kira 12,195 tan karbon dioksida setiap tahun.
Ujar Mike, Solarvest Holdings Berhad, pakar tenaga bersih di rantau ini bekerjasama dengan TTM untuk melaksanakan dan menyokong agenda neutral karbon.
"Dengan pengetahuan dan kemahiran mereka, Kami percaya ia dapat membantu TTM mencapai kecekapan tenaga optimum sekurang-kurangnya 20% daripada jumlah penggunaan elektrik semasa kilang," ujarnya.
Sementara itu, Saarani dalam ucapannya memuji inisiatif TTM dan mengalakkan penglibatan swasta untuk sama-sama mengambil langkah penjimatan melalui penggunaan REE sejajar dengan teras ketiga pelan Perak Sejahtera 2030.
Katanya, kerajaan negeri komited untuk menyebar luaskan inisiatif pembangunan teknologi hijau dengan mengalakkan pemasangan panel solar PV menerusi skim pemeteran tenaga bersih 3.0. - DagangNews.com