Toyota catat lonjakan jualan 223% September 2021 | DagangNews Skip to main content

Toyota catat lonjakan jualan 223% September 2021


SHAH ALAM 11 Okt – UMW Toyota Motor (UMWT) mencatatkan jumlah jualan keseluruhan sebanyak 8,033 unit, naik 5,509 unit berbanding Ogos. 

 

Ini terdiri daripada 7,931 unit kenderaan Toyota dan 102 kenderaan Lexus. Jumlah ini juga 43% lebih tinggi berbanding bulan sama tahun 2020 yang hanya mencatatkan 5,605 unit kenderaan terjual.

 

Secara terkumpul, jualan semasa tahunan (year-to-date) bagi kenderaan Toyota dan Lexus di Malaysia mencecah 43,594 unit pada penghujung September.

 

Bagi tempoh sembilan bulan yang sama pada 2020, jumlah keseluruhan tersebut hanya mencatatkan 25,978 unit.

 

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. berkata, jualan keseluruhan bagi September untuk Toyota dan Lexus melonjak tinggi sebanyak 223% berbanding bulan Ogos.

 

‘’Bilik pameran kami telah dibuka dan menerima kunjungan ramai pelanggan setiap hari, dengan tempahan juga semakin meningkat,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

Untuk mengalu-alukan semula kedatangan pengunjung ke bilik pameran seluruh negara, UMWT kini sedang menganjurkan promosi “Kunjung & Menang” dengan hadiah keseluruhan bernilai RM30,000 untuk dimenangi.

 

Tiada pembelian yang perlu dibuat. Pelanggan boleh mengambil bahagian dengan cara berkunjung ke bilik pameran rasmi, ambil gambar dan muat naik ke media sosial (seperti Facebook dan Instagram) dengan kapsyen. Kemudian, maklumkan kepada UMWT mengenai URL hantaran terbabit agar ia boleh dinilai.

 

Sebanyak 38 hadiah untuk dimenangi itu termasuk hadiah utama iPhone 12 (64 GB), dua hadiah tempat kedua berupa TV Samsung 4K LED 55-inci dan dua hadiah ketiga berupa pengering rambut Dyson Supersonic.

 

Hadiah saguhati pula terdiri daripada kerusi TT Racing Maxx untuk gaming, headphone Bose Quiet Comfort 35 tanpa wayar, papan kekunci gaming Kingston Hyper X, alat sanitasi udara mudah alih untuk kereta Philips dan kad Touch N’ Go kustom dengan nilai terisi sebanyak RM100.

 

 

toyota1

 

 

Semua yang berkunjung ke bilik pameran juga akan menerima Safety Kit (selagi stok masih ada).

 

Mereka yang merancang untuk membeli kenderaan baru Toyota pula boleh menikmati ansuran bulanan rendah dengan Toyota EZ Beli.

 

Untuk pegawai kerajaan, UMWT juga ada program Jom Drive (dengan kerjasama Toyota Capital Malaysia) dengan manfaat istimewa dan pilihan pelan pembiayaan.

 

Permohonan (dengan dokumen sokongan) sangat ringkas dan akan diproses segera agar pembeli boleh menikmati kenderaan Toyota baru mereka dalam masa yang singkat. – DagangNews.com