Transaksi tol RFID bermula pukul 10 malam esok | DagangNews Skip to main content

Transaksi tol RFID bermula pukul 10 malam esok

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Jan - Transaksi tol menggunakan teknologi Pengecaman Frekuensi Radio (RFID) untuk kenderaan ringan persendirian (Kelas 1) akan dilaksanakan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula pukul 10 malam esok.

 

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pihaknya menyediakan sekurang-kurangnya satu lorong RFID di semua 83 plaza tol di Lebuhraya Utara-Selatan bagi melengkapkan transaksi tol pengguna.

 

"Bermula pukul 10 malam esok, pelanggan RFID Touch ‘n Go yang telahpun menggunakan kaedah tersebut untuk membayar tol di lebuhraya-lebuhraya lain sebelum ini boleh menggunakan teknologi tersebut secara menyeluruh di lebuhraya PLUS. 

 

"Dengan pelaksanaan ini juga, pelanggan kenderaan penumpang persendirian (Kelas 1) lebuh raya PLUS kini boleh beralih kepada RFID untuk menikmati pengalaman perjalanan yang lebih lancar, tanpa sentuh dan menggunakan transaksi e-dompet," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Zakaria, ketika ini terdapat kira-kira 1.5 juta pelanggan lebuh raya yang menggunakan RFID Touch 'n Go untuk membayar tol di kebanyakan lebuh raya lain khususnya di Lembah Klang. 

 

 

plus
                                                                            Datuk Zakaria Ahmad Zabidi

 

Pelekat RFID Touch 'n Go dijual dengan harga RM35 di pusat pemasangan RFID yang sah di seluruh negara dan juga secara dalam talian.

 

Untuk senarai lokasi Pusat Pemasangan RFID, rujuk pautan https://rfidregister.touchngo.com.my/fitment-centres.

 

Selain lokasi tersebut, anda juga boleh mendapatkan Tag RFID Touch 'n Go secara online untuk pemasanagan sendiri melalui pautan https://rfid.touchngo.com.my/buy-rfid-tag.

 

Maklumat lanjut berhubung RFID boleh layari laman web http://rfid.plus.com.my. - DagangNews.com