TUDM terima pesawat kedua F/A-18D Hornet siap diselenggara dalam negara | DagangNews Skip to main content

TUDM terima pesawat kedua F/A-18D Hornet siap diselenggara dalam negara

Pesawat kedua F/A-18D Hornet TUDM yang siap diselenggara.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 30 April - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berjaya melaksanakan penyelenggaraan 'depot level' pesawat kedua F/A-18D Hornet di dalam negara menerusi kerjasama rakan industri.

 

Penyelenggaraan Local Planned Maintenance 12 Years (LPM12Y) ini dilaksanakan oleh syarikat Rosebank Engineeering atau dulunya dikenali sebagai RUAG.

 

Pesawat F/A-18D Hornet bernombor M45-07 ini diserahkan semula kepada TUDM pada majlis yang diadakan di Hangar Hornet Readiness Center, Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang.

 

 

Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan hadir menyempurnakan majlis tersebut.

 

Pesawat
Mohd Asghar Khan menyaksikan majlis menandatangani dokumen penyerahan pesawat F/A-18D Hornet TUDM yang siap diselenggara untuk diserahkan.

 

Penyerahan pesawat dilakukan oleh wakil pihak Rosebank Engineering, Joshua Robinson kepada Pegawai Memerintah No 18 Skuadron, Leftenan Kolonel Muhd Faizal Ab Rahim.

 

LPM-12Y merupakan senggaraan peringkat Depot Level Maintenance (DLM) bagi pesawat F/A-18D yang telah dijalankan di dalam negara sejak tahun 2021. 

 

M45-07 merupakan pesawat kedua yang telah selesai senggaraan yang bermula dari 5 Januari 2023 sehingga 15 April 2024. 

 

Penyelengaraan ini melibatkan pemeriksaan menyeluruh terhadap struktur pesawat, penilaian kerosakan dan baik pulih kerosakan struktur yang disebabkan haus dan lusuh serta persekitaran operasi.

 

Pesawat

 

Pesawat
Kerjasama strategik antara TUDM dan industri pertahanan tempatan ini dapat menjimatkan kos selenggaraan untuk jangka masa panjang.

 

Sepatutnya, pesawat F/A-18D ini perlu menjalani penyelenggaraan di luar negara. 

 

Bagaimana pun, senggaraan tersebut berjaya dilaksanakan buat kali kedua di dalam negara atas usahasama erat antara TUDM dengan pemain industri aeroangkasa dalam dan luar negara.

 

Selain Rosebank Engineering ia turut membabitkan syarikat tempatan iaitu G7 Global Aerospace (G7GA).

 

Kejayaan ini adalah satu pencapaian yang sangat membanggakan dan peningkatan kepakaran senggaraan oleh kejuruteraan aeroangkasa tempatan. 

 

Bagi jangka masa panjang, inisiatif ini dapat menjimatkan kos pembangunan angkatan atau penyelenggaraan aset-aset TUDM.

 

Pesawat
Empat pesawat F/A-18D Hornet kumpulan pertama daripada lapan buah yang dibeli TUDM.

 

Ini juga mewujudkan sinergi baharu secara berterusan dengan industri pertahanan tempatan. 

 

TUDM melalui Markas Pemerintahan Bantuan Udara telah merancang bagi melaksanakan penyelengaraan ‘depot level’ ke atas pesawat ini pada 2021 iaitu setelah 24 tahun dioperasikan.

 

Pada Januari tahun lalu, pesawat pertama iaitu M45-01 berjaya diselenggara dan telah diserahkan kepada TUDM.

 

Difahamkan ketika ini pesawat ketiga sedang melalui proses penyelenggaraan sama dan dijangka siap pada awal tahun hadapan sebelum pesawat seterusnya melalui proses sama.

 

Ini bermakna F/A-18D Hornet akan dikekalkan sehingga TUDM melaksanakan perolehan pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) pada tahun 2030.

 

Pesawat

 

Program selenggaraan ini juga bagi memastikan kemampuan pesawat F/A-18D Hornet dikekalkan.

 

F/A-18D Hornet dikendalikan No 18 Skuadron berpengkalan di TUDM Butterworth, Pulau Pinang.

 

Skuadron tersebut yang ditubuhkan pada 1997 sebagai skuadron tempur apabila negara membeli lapan pesawat buatan Boeing (dulunya Mcdonnell Douglas) dari Amerika Syarikat.

 

F/A-18D Hornet dengan rekod sifar nahas udara juga adalah sesuatu yang wajar dibanggakan.

 

Sepanjang penggunaanya, pihak Boeing telah memberikan sokongan yang baik pada TUDM termasuk kerjasama dalam program menaik taraf pesawat. - DagangNews.com