KUALA LUMPUR 9 Dis - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berharap Proton dapat memajukan projek pembuatan kereta elektrik, sekaligus menjadi pengeluarnya tersendiri.
Tun Mahathir berkata demikian selepas beliau diperkenalkan sebuah kereta elektrik 'Polestar 2' oleh DRB-Hicom, sebuah kenderaan yang diusahakan Geely, rakan usaha sama Proton.
Bekas Pengerusi Proton itu menerusi ciapan di Twitternya berkata, beliau mendapati kenderaan tersebut menjadi pilihan berikutan kurang pencemaran.
"Namun kita perlu ingat walaupun kereta tidak cemarkan udara, bekalan elektrik yang datang dari stesyen janakuasa juga mencemarkan udara. Kereta elektrik belum sampai lagi ke tahap bebas pencemaran udara.
"Akhirnya mungkin kita terpaksa guna kereta hidrogen, itupun terdapat juga masalah lain yang perlu diuji dan diselesaikan. Sementara itu, untuk bersihkan iklim dalam bandar, kereta eletrik masih menjadi pilihan," katanya.
Tun Mahathir berpandangan, kereta itu memiliki reka bentuk amat canggih dengan tempat penyimpanan lebih besar memandangkan ia tidak perlu menyediakan ruang bagi menyimpan enjin.
"Ciri-ciri reka bentuk dalaman juga kemas dan futuristik, yang mana segala kawalan dan tetapan boleh dibuat dengan sentuhan ’tablet’. Sudah tidak ada lagi suis atau tombol di dashboard seperti kereta biasa," katanya.
Tambahnya, kerajaan di kebanyakan negara kerajaan memberi insentif kepada pembeli kereta letrik. - DagangNews.com