Tune Protect, AirAsia lancar COVID Travel Pass | DagangNews Skip to main content

Tune Protect, AirAsia lancar COVID Travel Pass

 

 

KUALA LUMPUR 17 Nov - Tune Protect Group Bhd. dan AirAsia Group Bhd. melancarkan COVID Travel Pass, pelan perlindungan insurans untuk pelancong ke Langkawi dan Thailand.

 

Tawaran ini bagaimanapun akan diperluaskan ke negara dan destinasi lain pada masa akan datang.

 

Pelan COVID Travel Pass adalah lengkap dengan perlindungan COVID-19 yang dipertingkatkan untuk memenuhi syarat kerajaan Malaysia bagi pelancong antarabangsa yang datang ke Langkawi untuk mempunyai perlindungan insurans mandatori sebanyak AS$80,000 manakala untuk Thailand, perlindungan mandatori yang diperlukan adalah sebanyak AS$50,000. 

 

Kini, tetamu AirAsia ke Langkawi dan pelbagai destinasi di Thailand boleh melanggan COVID Travel Pass ini semasa menempah tiket penerbangan di airasia Super App, selain pilihan langganan selepas pembelian tiket penerbangan sebelum pelancong berlepas.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, AirAsia Aviation Limited, Bo Lingam berkata, selaras dengan pembukaan sempadan antarabangsa Malaysia dan Thailand, AirAsia bersedia untuk memenuhi peningkatan permintaan pelancongan terutamanya menjelang akhir tahun, waktu kemuncak pelancongan. 

 

"Dengan protokol baharu dalam sektor pelancongan, kami ingin meyakinkan para tetamu bahawa kami bersedia untuk mengalu-alukan mereka dengan produk perlindungan perjalanan yang tepat, disediakan oleh Tune Protect.

 

"Di samping itu, turut mematuhi protokol yang tegas bagi memastikan keselamatan tetamu kami sepanjang penerbangan supaya mereka boleh menikmati ketenangan fikiran sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bagi tetamu antarabangsa AirAsia yang akan ke Langkawi, Malaysia, COVID Travel Pass menyediakan perlindungan sehingga RM350,000 meliputi kos perubatan dan kemasukan ke hospital akibat kemalangan dan penyakit termasuk jangkitan COVID-19, serta elaun kuarantin sebanyak RM150 sehari. Premium bermula dari serendah RM170 setiap tetamu bagi setiap perjalanan.

 

Sementara itu, bagi tetamu AirAsia ke Thailand, COVID Travel Pass menyediakan perbelanjaan perubatan akibat kemalangan dan penyakit akibat COVID-19 sehingga THB1.8 juta. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Tune Protect, Rohit Nambiar berkata, COVID Travel Pass ini memenuhi keperluan di kedua-dua buah negara bagi memastikan para pelancong lebih bersedia dan dilindungi sepanjang percutian, sekali gus dapat menikmatinya tanpa kerisauan. 

 

"Para tetamu boleh membeli pas ini sewaktu membuat tempahan penerbangan AirAsia melalui platform tempahan penerbangan airasia Super App dengan sangat mudah,” katanya.

 

Covid Travel Pass boleh didapati melalui airasia Super App dan tidak lama lagi akan juga disediakan kepada pelanggan lain melalui laman web Tune Protect. 

 

Pelancong yang telah membeli penerbangan AirAsia sebelum 1 November 2021 akan dimaklumkan melalui mesej notifikasi automatik untuk menambah perlindungan insurans yang diperlukan dengan pilihan langganan selepas pembelian penerbangan yang berkaitan. 

 

Faedah sedia ada lain Covid Travel Pass termasuk kemalangan peribadi, kesulitan perjalanan seperti pemendekkan perjalanan, kelewatan penerbangan, kehilangan atau kerosakan pada bagasi yang didaftar masuk, kelewatan bagasi semasa ketibaan; faedah kesulitan darat akibat ragut, pemindahan perubatan kecemasan dan perkhidmatan bantuan perjalanan 24 jam. 

 

Pada Febuari lalu, Tune Protect turut menambahbaik Perlindungan Perjalanan AirAsia Tune Protect untuk pengembara dari Malaysia yang memasuki Singapura meliputi perlindungan kos perubatan dan kemasukan ke hospital akibat COVID-19 sebanyak RM100,000 bagi memenuhi keperluan perlindungan insurans mandatori sebanyak SGD30,000 oleh kerajaan Singapura. - DagangNews.com