Tunku Ali, Bamford dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif baharu Astro | DagangNews Skip to main content

Tunku Ali, Bamford dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif baharu Astro

Nicola Mary Bamford (kiri) dan Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz (kanan) dilantik sebagai pengarah bebas bukan eksekutif baharu Astro.

KUALA LUMPUR 6 Mei - Astro Malaysia Holdings Berhad melantik dua pengarah bebas bukan eksekutif baharu iaitu Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Nicola Mary Bamford bagi mengukuhkan barisan lembaga pengarah kumpulan itu.

 

Astro Holdings dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, pelantikan itu akan berkuat kuasa bermula hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, Tunku Ali, 45, merupakan pengerusi bebas Bumi Armada Berhad dan Taliworks Corp Berhad selain memegang jawatan pengarah di Bank Negara Malaysia (BNM)-mengawal selia Bangkok Bank Berhad dan Sun Life Malaysia Assurance Berhad.

 

Tunku Ali yang memiliki pendidikan daripada Cambridge dan Harvard merupakan penasihat kanan kepada firma ekuiti swasta, TPG Capital selain menjadi lembaga pengarah untuk syarikat di bawah portfolio TPG termasuk CVS KL, Pathology Asia Holdings dan Columbia Asia. 

 

Beliau juga merupakan rakan kongsi di Vynn Capital yang merupakan firma pelaburan modal teroka peringkat awal.

 

Sementara itu, Bamford, 56, yang menerima pendidikan daripada Cambridge dan Harvard memiliki pengalaman yang luas dalam bidang media berkaitan televisyen antarabangsa.

 

Astro berkata, jawatan terakhir beliau adalah ketua pegawai eksekutif operasi antarabangsa di Endemol Shine Group yang menyaksikan beliau bertanggungjawab dari segi kewangan dan prestasi syarikat di Iberia, Perancis, Italy, Israel, India, China dan Rusia selain bekerjasama dengan rakan kongsi di India, Israel dan Rusia.

 

Bamford juga sebelum ini bersama Sky, mengetuai pasukan dalam menilai peluang untuk pengembangan over-the-top (OTT) melangkaui jejak langsung ke rumah (DTH) yang membawa kepada pelancaran Sky Spain pada 2017 dan sebelum itu, menguruskan video transaksi Sky UK atas permintaan (TVOD ) dan perniagaan jualan terus elektronik (EST).

 

"Beliau kembali menyertai Sky selepas memegang jawatan kanan di Tata Sky di India dan Sky Jerman, menjadi Pengarah Saluran dan Operasi di Sky UK.

 

"Bamford juga berkerja untuk News Corp di Amerika Syarikat (US) dan Disney di UK , kata Astro. - DagangNews.com