Tuntutan saman tak jejas operasi FGV | DagangNews Skip to main content

Tuntutan saman tak jejas operasi FGV

 

 


KUALA LUMPUR 25 Mei - FGV Holdings Bhd. dan cabang teknologi maklumat (IT), FGV Prodata System Sdn. Bhd. (FGV Prodata) menjangkakan tuntutan pampasan serta ganti rugi bernilai RM170.70 juta oleh VDSL Technology Sdn. Bhd. (VDSL) tidak memberi kesan kewangan dan operasi.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia seperti dilapor Bernama, FGV menjelaskan, pihaknya sedang mendapatkan nasihat guaman untuk mengambil tindakan mencabar writ saman yang diterima pada 18 Mei 2021 daripada VDSL, syarikat IT dan aktiviti berkaitannya.

 

Baca : FGV dapatkan nasihat guaman berhubung berhubung tuntutan RM170.7 juta

 

VDSL menuntut pampasan dan ganti rugi berjumlah RM170.70 juta daripada FGV Prodata dan Felda susulan dakwaan telah melanggar beberapa pengaturan yang dipersetujui oleh pihak-pihak berkenaan berkaitan dengan Projek Inisiatif Jalur Lebar Felda.

 

"Sekiranya FGV Prodata kalah dalam kes mencabar VDSL itu, kerugian yang dijangkakan adalah jumlah nilai yang diputuskan oleh mahkamah.

 

"Bagaimanapun, kami yakin dapat mempertahan kedudukan daripada tuntutan itu. Kami sedang dalam proses libat urus dengan peguam luaran untuk mendapatkan nasihat dan mewakili FGV dan FGV Prodata dalam kes ini," menurut FGV. - DagangNews.com