Tutup sementara kilang, penganalisis kurangkan ramalan pendapatan SLP Resources | DagangNews Skip to main content

Tutup sementara kilang, penganalisis kurangkan ramalan pendapatan SLP Resources

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 13 Sept. - SLP Resources Bhd. dijangka berdepan kerugian hampir 2 hingga 3% kepada pengeluaran tahunan ekoran penutupan sementara operasi kilang di Kulim, Kedah, menurut Malacca Securities Research.

 

Pada Jumaat, kumpulan memaklumkan di Bursa Malaysia, operasi kilangnya diarahkan tutup oleh Kementerian Kesihatan mulai 9 hingga 16 September selepas terdapat kes jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja. 

 

Kumpulan juga telah melakukan ujian COVID-19 terhadap pekerja yang mempunyai hubungan rapat dengan mereka yang dijangkiti.

 

Sehubungan itu, Malacca Securities mengurangkan anggaran pendapatan bagi tahun kewangan 2021 dan 2022 masing-masing sebanyak 2.3% dan 0.2% kepada RM24.6 juta dan RM25.1 juta dengan mengambil kira pengeluaran yang terjejas sementara. 

 

Katanya, penutupan sementara itu akan menjejaskan jualan dan pengeluaranya bagi suku semasa. 

 

"Kami percaya adalah perlu bagi SLP Resources untuk menutup sementara kilangnya bagi membolehkan rantaian jangkitan ini diputuskan dan mengelakkan daripada menular ke kilang pembuatannya.

 

"Malah, SLP Resources juga telah melaksanakan dan akan memenuhi semua keperluan prosedur operasi standard (SOP) ke atas operasi, premis termasuk asrama pekerja beserta langkah-langkah penjarakan sosial, pemeriksaaan suhu, penjagaan kebersihan, penggunaan peralatan perlindungan diri (PPE) dan pembersihan rutin," katanya dalam nota kajian hari ini.

 


Baca : SLP Resources tutup sementara kilang di Kulim, jangka pengeluaran terjejas

 

 

Bagaimanapun, firma itu melihat prospek syarikat pengeluar produk pembungkusan plastik ini terus kekal disokong oleh permintaan yang semakin meningkat, membolehkan SLP Resources bertahan ketika berdepan cabaran ini. 

 

Katanya, arahan bekerja dari rumah menyebabkan permintaan terpendam (pent-up demand) bagi aktiviti pembungkusan berikutan corak penggunaan yang berubah kepada tempahan penghantaran makanan dan minuman, barangan elektronik, penjagaan kesihatan dan pelbagai barang keperluan lain yang semakin meningkat. 

 

"Kami juga mendapati harga purata jualan (ASP) semasa masih memberi keuntungan kepada SLP Resources berikutan kenaikan harga damar (resin)," katanya.

 

Menurut Malacca Securities, kebiasaannya, pemain industri pembungkusan plastik akan menerapkan mekanisme pemeliharaan kos walaupun terdapat perbezaan masa selama 3 bulan.

 

"Pada masa sama, kelemahan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) juga membolehkan SLP Resources memperoleh RM39.5 juta atau 45.15 pendapatan dari luar negara bagi tempoh 6 bulan bagi tahun kewangan 2021," tambahnya. 

 

Firma itu mengekalkan saranan 'pegang' bagi saham SLP Resources dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.03.

 

"Ketidaktentuan harga global resin yang boleh menjejaskan kos dan margin dilihat antara faktor negatif yang boleh memberi risiko kepada penarafan SLP Resources ini," katanya lagi. - DagangNews.com