TV Sarawak bermula siaran 10.10.2020 | DagangNews Skip to main content

TV Sarawak bermula siaran 10.10.2020

KUALA LUMPUR 9 Okt - Sempena sambutan ulang tahun kelahiran Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud yang ke-84, Sarawak akan melancarkan stesen televisyennya sendiri iaitu TV Sarawak atau TVS.

Pelancaran yang dijadualkan 11 Oktober ini akan disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Stesen ini akan mula bersiaran pada 10 Oktober 2020 dan disiar menerusi saluran Astro 122.

TV Sarawak sebuah stesen televisyen yang diluluskan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dan mendapat lesen selama 10 tahun akan mula beroperasi menjelang akhir tahun ini.

Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, rakyat negeri itu berpeluang untuk menikmati saluran berkenaan secara percuma.
 

abgJo
Abang Johari Tun Openg

 

"Sarawak Media Group (SMG) dan syarikat berkaitan kerajaan Sarawak akan bekerjasama untuk mengurus dan mengendalikan stesen televisyen yang menyediakan saluran percuma.

"Sarawak adalah negeri pertama yang mempunyai stesen TV bertujuan untuk menyediakan platform kepada industri kreatif di negeri ini," katanya, baru-baru ini.

Beliau melahirkan keyakinan TV Sarawak adalah medium yang efektif untuk memperkenalkan keunikan dan kekayaan budaya masyarakat pelbagai kaum di negeri Sarawak ke seluruh negara dan dunia.

Sambil memberi contoh kepada kejayaan Anak Sarawak di persada kebangsaan seperti Dayang Nurfaezah, Bob dan Miss Universe Malaysia Francisca Luhong, beliau berkata Sarawak mempunyai banyak bakat besar untuk diketengahkan melalui TV Sarawak.
 

SuhaimiSulaiman
Suhaimi Sulaiman


TV Sarawak adalah di bawah kendalian Sarawak Media Group Sdn. Bhd, sebuah syarikat GLC yang diketuai oleh Suhaimi Sulaiman yang berpengelaman luas dalam bidang penyiaran sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. - DagangNews.com