TWL Holdings catat untung bersih RM2.82 juta pada 2QFY24 | DagangNews Skip to main content

TWL Holdings catat untung bersih RM2.82 juta pada 2QFY24

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Feb - TWL Holdings Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM2.82 juta pada suku kedua tahun kewangan 2024 (2QFY24) berbanding kerugian bersih RM4.8 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan kumpulan pula meningkat 10% kepada RM6.8 juta daripada pada suku dalam tinjauan daripada RM6.17 juta.

 

“Pertumbuhan pendapatan terutamanya didorong oleh peningkatan jualan hartanah kediaman manakala pertumbuhan keuntungan disokong perbelanjaan pentadbiran yang lebih rendah dan margin keuntungan lebih tinggi daripada penjualan hartanah kediaman,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Bagi tempoh separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24), ia mencatat keuntungan bersih RM5.6 juta berbanding kerugian bersih RM4.6 juta dengan pendapatan RM16 juta, meningkat 74% daripada RM9.3 juta tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Kumpulan itu berkata, segmen pembinaan & pembangunan hartanah terus menjadi tunjang utamanya dengan menjana pendapatan RM12.06 juta, membentuk kira-kira 75% daripada jumlah pendapatan. 

 

Segmen perladangan dan kayu yang terdiri daripada aktiviti pembuatan dan perdagangan balak menyumbang kira-kira RM3.58 juta kepada jumlah pendapatan.

 

Sementara itu, segmen penjagaan kesihatan perubatan yang terdiri daripada pengedaran sarung tangan perubatan dan produk penjagaan kesihatan pula mencatatkan pendapatan kira-kira RM0.26 juta manakala segmen loji berkelompok yang melibatkan pengeluaran dan pembekalan campuran konkrit teknikal dan tersuai serta produk berkaitan konkrit lain mencatatkan lebih kurang RM0.13 juta. 

 

Pengerusi Eksekutif TWL , Datuk Tan Wei Lian berkata menjangkakan kumpulan itu kekal berdaya tahan dan terus memberikan prestasi kewangan yang teguh sepanjang tahun. 

 

“Jumlah aset dan tunai bersih kami yang masing-masing direkodkan pada RM504.41 juta dan RM110.81 juta, menunjukkan kedudukan kukuh kewangan kami yang akan memberi manfaat sementara kami terus melaksanakan rancangan pertumbuhan organik dan bukan organik seperti penggabungan dan pengambilalihan (M&A).

 

“Melangkah ke hadapan, kami akan melancarkan hartanah mampu milik dan pasaran pertengahan kami iaitu Taman Pinggiran USJ (EN11), Subang Jaya; TWL Alam Impian, Shah Alam; dan The Aster Residence, Cheras dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) lebih kurang RM675.8 juta menjelang suku ketiga 2024,” ujar beliau. - DagangNews.com