Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR
Kolumnis DagangNews.com
SAYA pernah tinggal 18 tahun di UAE dan dapat mengagak ke mana hala UAE untuk pelaburan. Malaysia bukan tempat menarik waktu sekarang dengan kepesatan negara jiran selepas pasca COVID-19.
Kerana itu Presiden Indonesia, Joko “Jokowi” Widodo telah melakukan lawatan yang membuahkan hasil ke UAE dengan memperoleh pelaburan bernilai AS$32.7 bilion (RM136 bilion) termasuk pembuatan dan pengedaran vaksin.
Pelaburan itu yang diumumkan pada 4 November 2021. Jokowi bertemu dengan kepimpinan tertinggi UAE untuk mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara.
Hubungan yang semakin erat menyaksikan Pertamina, syarikat tenaga nasional Indonesia, menandatangani perjanjian mengenai panel solar terapung dengan Masdar syarikat tenaga boleh diperbaharui yang berpangkalan di Abu Dhabi.
G42, sebuah syarikat kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran akan melabur dalam inisiatif bandar pintar, makmal genomik dan telekomunikasi.
Ekonomi terbesar Asia Tenggara sedang berusaha untuk meningkatkan perdagangan dua hala, rancangan UAE untuk membuka pasaran dalam ekonomi yang berkembang pesat.
Selepas beberapa pusingan rundingan yang bermula pada September, Presiden Jokowi menjangkakan perjanjian itu akan dimuktamadkan seawal Mac tahun depan.
Sebanyak 19 perjanjian komitmen pelaburan melibatkan kerjasama antara Pihak Berkuasa Pelaburan Indonesia dan syarikat logistik multinasional yang berpangkalan di Dubai DP World, syarikat yang saya pernah bekerja.
Perjanjian lain turut melibatkan promosi pelaburan, percukaian, kerjasama bank pusat, pelancongan dan pengurusan hutan bakau.
Pada bulan Mac, UAE mengumumkan pelaburan sebanyak AS$10 bilion bagi projek infrastruktur, pertanian dan pelancongan di Indonesia.
Ini menjadikan UAE pelabur utama terbesar dalam dana kekayaan negara Indonesia melebihi pelaburan daripada Jepun, Kanada dan Amerika Syarikat.
Dana kekayaan negara UAE, Abu Dhabi Investment Authority juga sedang melabur AS$400 juta untuk mengetuai pusingan pengumpulan dana pra-IPO oleh syarikat teknologi terbesar Indonesia GoTo, menyertai pelabur seperti Alibaba, Facebook, Google dan Temasek.
Pelaburan pertama Abu Dhabi dalam perniagaan teknologi di Asia Tenggara dan pelaburan terbesarnya. Lebih penting lagi telah membincangkan projek Jokowi untuk membina ibu kota baharu di Kalimantan Timur.
Putera Mahkota Abu Dhabi mengetuai jawatankuasa yang menyelia pembinaan bandar baharu itu. Keagresifan Jokowi menyaksikan penubuhan ahli Lembaga Penguasa Pelaburan Indonesia untuk melaksanakan projek strategik di ibu kota baharu.
Hubungan rapat kedua-dua negara terserlah apabila Sheikh Mohammed menamakan sebuah jalan sempena nama Presiden Joko “Jokowi” Widodo. Membalas dengan menamakan hamparan tol Jakarta-Cikampek sempena nama Putera Mahkota Abu Dhabi, yang lebih dikenali dengan MBZ.
Pelaburan UAE yang menakjubkan di Indonesia telah menimbulkan persoalan tentang kekurangan minat terhadap Malaysia biarpun beberapa kali lawatan daripada pemimpin Malaysia.
Pada bulan yang sama UAE membelanjakan AS$10 bilion di Indonesia, Perdana Menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin membuat lawatan rasminya ke Arab Saudi dan UAE.
Muhyiddin berkata lawatannya ke UAE adalah untuk mengukuhkan lagi hubungan dua hala sedia ada. Meneroka bidang kerjasama baharu dengan pandangan untuk meningkatkan perkongsian kepada lebih besar, termasuk teknologi, inovasi dan perkongsian ekonomi.
Kita tunggu lawatan Ismail Sabri ke UAE pula.
Apakah keengganan Abu Dhabi untuk melabur di Malaysia menunjukkan bahawa pelabur asing tidak berminat untuk mengepam dolar yang serius ke negara yang dilanda ketidakstabilan politik, salah urus ekonomi dan salah pengendalian COVID-19 dengan pelbagai masalah?
Pelabur asing, termasuk orang Arab kaya, dimanjakan dengan pilihan di rantau ini.
Untuk itu, kita mengharapkan tahun 2022 akan ada pelaburan yang mampu menonjol dengan kehebatan Indonesia, setidak-tidaknya dari dunia Arab Islam yang menjadi sahabat baik selepas kes Abu Dhabi dengan 1MDB. – DagangNews.com