Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
[email protected]
KUALA LUMPUR 11 Jan - Kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyumbang 250 tan bantuan kemanusiaan berupa pelbagai barangan keperluan kepada mangsa banjir di Malaysia pada minggu pertama 2022.
Portal berita tempatan UAE, Al-Ain melaporkan, ia adalah sebahagian daripada fasa pertama bantuan kemanusiaan UAE yang memberi tumpuan kepada keperluan tempat tinggal, makanan dan kesihatan.
Selangor menjadi negeri penerima pertama sumbangan berupa 9,600 barangan keperluan yang disampaikan menerusi Persatuan Bulan Sabit Merah UAE.
Pengerusi Yayasan Raja Muda Selangor, Tan Sri Raja Arshad Tun Uda menerima bantuan berkenaan bagi pihak mangsa terjejas dalam satu majlis yang diadakan pada 3 Januari lalu.
Di Pahang, sebanyak 10,000 keluarga terjejas juga mendapat manfaat daripada sumbangan itu.
Majlis agihan bantuan pada 6 Januari lepas dihadiri Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah dan Duta UAE ke Malaysia, Khalid Ghanim Al-Ghaith.
UAE antara negara pertama yang mengumumkan solidaritinya dengan Malaysia dalam menghadapi musibah ini, serta sentiasa proaktif dalam memberikan sokongan dan memanfaatkan keupayaannya untuk menyumbang kepada usaha kemanusiaan.
Terdahulu pada akhir Disember lalu, kerajaan UAE mengumumkan akan menyumbang pelbagai barangan keperluan khusus kepada 775 keluarga membabitkan lebih 3,000 anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia serta warga awam Kementerian Pertahanan di seluruh negara yang terjejas akibat banjir.
Memetik laporan Bernama, inisiatif bantuan kemanusiaan UAE itu disediakan oleh pihak berkuasa UAE di bawah arahan Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Komander Tertinggi Angkatan Tentera UAE Sheikh Mohamed Zayed al Nahyan.
Hujan lebat di Malaysia pada penghujung 2021 mengakibatkan banjir dan tanah runtuh di beberapa negeri, meragut hampir 50 nyawa setakat ini. Angka kematian itu adalah yang tertinggi dalam sejarah bencana banjir di Malaysia. - DagangNews.com