UCTC UPM syor 10 tanaman yang perlu ada di laman rumah anda | DagangNews Skip to main content

UCTC UPM syor 10 tanaman yang perlu ada di laman rumah anda

Oleh Mahani Amat @ Halimi
Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia

 

 

SERDANG 4 Okt – Tom Yam. Sedapnya, masakan Tom Yam ala Thai yang cukup rasa pedas, masam, masin, serta bau harum herba seperti serai, daun limau purut yang mampu menaikkan lagi aroma Tom Yam dan berupaya meningkatkan selera kepada yang memakannya.

 

Bahan wajib yang digunakan untuk masakan Tom Yam adalah pes Tom Yam, serai, daun limau purut dan cili padi yang akan ditambah dengan bahan-bahan lain seperti bawang, sayur-sayuran, makanan laut, ayam atau daging dan lain-lain. Hasrat untuk memasak yang berkobar-kobar boleh luntur secara tiba-tiba apabila bahan wajib dalam masakan Tom Yam ini tiada atau tidak mencukupi.

 

Biasanya penjual akan menjual seikat serai (3-5 batang serai), sebungkus daun limau purut (10 helai daun) dan cili padi yang biasanya boleh dipilih dalam kuantiti (10-20 gm).

 

Ketiga-tiga bahan ini mungkin anggaran sekitar RM2 hingga RM5. Alangkah baik jika kita tidak perlu lagi membeli serai, daun limau purut dan cili padi.

 

Malah, kita boleh mendapatkan bahan-bahan segar berkenaan hanya di sekeliling rumah.

 

Adakalanya, bahan yang dibeli juga tidak segar, kering dan mengecut. Oleh kerana tiada pilihan, kita terpaksa juga membelinya demi masakan Tom Yam yang diingini.

 

Kadar penggunaan bahan-bahan segar untuk masakan Tom Yam bagi seisi keluarga, hanya memerlukan sebatang serai, sehelai daun limau purut dan 2-3 biji cili padi.

 

Kebiasaannya, baki bahan masakan yang dibeli tadi akan disimpan di dalam peti ais. Mungkin dan selalu juga berlaku apabila bahan tersebut tidak lagi digunakan dalam masakan berikutnya.

 

Maka, ia terus mengecut dan mengering di dalam peti ais. Lama-kelamaan kita akan terus membuangnya ke dalam tong sampah dan ini menjadi suatu pembaziran.

 

 

UCTC UPM
Pokok ini bukan sahaja berfungsi sebagai penghias rumah tetapi juga boleh dimakan dan menjimatkan kos masakan.

 


Senario ini boleh diubah jika kita ada menanam tanaman berkenaan di halaman rumah. Cukup sekadar satu pasu atau satu pokok setiap jenis sudah memadai.

 

Bila hendak memasak Tom Yam misalnya, kita hanya perlu ke halaman rumah dan terus memetik bahan yang diperlukan untuk membuat Tom Yam.

 

Bahan yang kita peroleh juga adalah segar, menjimatkan wang, menjimatkan masa dan memudahkan kita untuk memasak.

 

Malah, dapat mengelakkan pembaziran kerana kita hanya mengambil bahan-bahan seperti serai, daun limau purut dan cili padi sekadar yang diperlukan sahaja.

 

Di samping itu, bahan yang ditanam juga menjadi asbab sedekah jariah kepada jiran-jiran dan serangga.

 

Justeru, terdapat 10 jenis pokok yang perlu di tanam di halaman rumah. Antaranya adalah:

  1. Pandan

  2. Serai

  3. Pokok Limau Purut

  4. Pokok Limau Kasturi

  5. Pokok Kunyit

  6. Pokok Kari

  7. Pokok Cili Padi

  8. Pokok Kesum

  9. Pokok Bawang

  10. Pokok Cekur

 

Sepuluh jenis tanaman ini adalah tanaman dapur yang biasa kita gunakan dalam masakan harian dan kadar penggunaan biasanya dalam kuantiti yang kecil. Tanaman ini mudah hidup dan mudah dijaga.

 

Oleh itu, ayuh kita berusaha untuk melengkapkan 10 pokok yang wajib ditanam di halaman rumah agar dapat menjimatkan perbelanjaan dapur dan memudahkan urusan kita di dapur.

 

Sedikit panduan dan perkongsian ilmu daripada Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), UPM untuk para pembaca:

 

  • Apa jua tanaman yang di tanam memerlukan air dan cahaya. Penyiraman air sekurang-kurangnya 2 kali sehari pagi dan petang adalah mencukupi terutamanya pada waktu panas.

 

  • ’Cahaya matahari yang mencukupi juga perlu untuk tanaman ini terus subur menghijau dan mengeluarkan hasil yang baik. Siraman air beras juga dapat membantu meningkatkan kesuburan tanah.

 

 

Selamat bercucuk tanam! – DagangNews.com

 

 

Mahani Amat @ Halimi merupakan Pegawai Pertanian,  Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC), Universiti Putra Malaysia