KUALA LUMPUR 9 Nov - UEM Edgenta Bhd. bercadang melupuskan 51% pegangan dalam Faber Sindoori Management Services Pte Ltd. pada harga 700 juta rupee (RM40 juta) secara tunai kepada Apollo Sindoori Hotels Ltd (ASHL).
Ini menyaksikan anak syarikat milik penuhnya, Edgenta Facilities Sdn. Bhd. (EFSB) memeterai perjanjian penjualan saham (SPA) dengan ASHL pada 8 November 2022.
Menurut UEM Edgenta, hasil daripada penjualan itu akan digunakan untuk melaksanakan pelaburan berpotensi termasuk perbelanjaan modal untuk peluang pertumbuhan dalam tempoh 12 bulan dari penerimaan hasil.
"Cadangan ini memberi peluang kepada kumpulan untuk menjana kewangan pelaburannya daripada kerjasama perniagaan dengan Apollo Group di Faber Sindoori, mencapai kadar pulangan dalaman lebih daripada 20%.
"Malah, hasil daripada langkah ini juga membolehkan UEM Edgenta melabur semula dan memperuntukkan lebih sumber untuk mempercepatkan strategi pengembangan antarabangsa bagi merealisasikan visi kumpulan, The Future 2025," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
ASHL memiliki baki 49% pegangan dalam Faber Sindoori, yang terlibat terutamanya dalam penyediaan perkhidmatan pengurusan kemudahan bersepadu di India.
UEM Edgenta berkata, kumpulan akan menjalin memorandum untuk penerokaan perniagaan dengan Apollo Group sebagai lanjutan daripada perkongsian strategik mereka untuk bekerjasama dalam bidang pertumbuhan baharu dan bagi memperkenalkan penyelesaian inovatif secara berterusan kepada pasaran penjagaan kesihatan India.
Kumpulan menjangkakan cadangan pelupusan ini akan selesai menjelang 31 Disember 2022. - DagangNews.com