UEM Sunrise anjur pameran seni K’Artulistiwa, sokong pemuliharaan alam sekitar dan haiwan | DagangNews Skip to main content

UEM Sunrise anjur pameran seni K’Artulistiwa, sokong pemuliharaan alam sekitar dan haiwan

Ketua Pegawai Pembangunan UEM Sunrise, Mardiana Rahayu Tukiran ketika berucap di pameran seni K’Artulistiwa di galeri jualan KAIA Heights di Taman Equine, Seri Kembangan.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Mac - UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) melancarkan inisiatif komuniti terkini bertajuk K’Artulistiwa pada Sabtu lepas di galeri jualan KAIA Heights, Seri Kembangan.

 

Pameran seni itu bertujuan mengeratkan hubungan bersama komuniti yang menempatkan karya artis tanah air di galeri jualannya serta menjadi ruang untuk pelbagai aktiviti seni yang diterajui masyarakat seperti mural, bengkel seni, dan pameran solo dan berkumpulan oleh para artis. 

 

Aktiviti-aktiviti tersebut terbuka kepada orang awam sebagai usaha untuk mencetuskan minat dan menyebarkan kesedaran terhadap pemuliharaan alam sekitar dan haiwan serta pemeliharaan warisan budaya.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, K’Artulistiwa adalah permainan kata khatulistiwa yang melambangkan lokasi geografi Malaysia.

 

Beliau berkata, dengan dorongan matlamat syarikat yang berteraskan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), pameran seni tersebut juga berniat untuk memberi fokus kepada elemen rangka kerja ESG syarikat dengan mengemukakan keperluan tinggi untuk melindungi biodiversiti serta menonjolkan kepentingan menyokong keperluan para masyarakat. 

 

"Adalah penting untuk kami memimpin melalui teladan dengan mempraktikkan strategi pembangunan yang peka terhadap alam sekitar dan sosial. Artis tempatan kita kini merupakan pejuang kami,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

uem
Ketua Pegawai Pemasaran UEM Sunrise, Kenny Wong; Mardiana Rahayu Tukiran, Suzi Chua dan Ketua Pegawai Operasi (Pusat) UEM Sunrise, Liong Kok Kit.

 

 

Menurut Sufian, inisiatif seni tersebut dalam perancangan untuk diperagakan di galeri jualan syarikat lain dalam masa terdekat.

 

UEM Sunrise telah bekerjasama dengan artis pemuliharaan alam sekitar dan hidupan liar, Suzi Chua, di mana minatnya dalam kesenian dan pemuliharaan alam sekitar telah memberi inspirasi kepadanya untuk memperjuangkan matlamat beliau melalui pelbagai bentuk seni. 

 

Suzi berkata, sebagai artis pemuliharaan alam sekitar dan hidupan liar, beliau menganggap ia sebagai misinya untuk menjadi suara bagi mereka dan menangani isu yang membimbangkan ini dalam masyarakat kita. 

 

 

uem

 

 

"Saya berharap suara mereka dapat disampaikan melalui lukisan saya dengan meningkatkan kesedaran dan melindungi mereka daripada kepupusan. Melalui kerjasama saya dengan UEM Sunrise, saya mampu menzahirkan kesenian kepada reka bentuk dalaman dan 'memberi kehidupan' kepada galeri jualan KAIA Heights," katanya.

 

Karya-karya seni beliau kini dipamerkan di sekitar galeri jualan KAIA Heights dan orang awam boleh menghayati dan membeli karya-karya tersebut. 

 

 

uem

 

 

Sebahagian daripada hasil jualan akan disumbangkan kepada usaha-usaha pemuliharaan Harimau Malaya dan beruang matahari Borneo serta habitat-habitat mereka yang kini diancam kepupusan. - DagangNews.com