UiTM naib juara pertandingan robot universiti U-ROCK 2023 | DagangNews Skip to main content

UiTM naib juara pertandingan robot universiti U-ROCK 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 13 Dis - Penyertaan sulung pelajar sarjana Universiti Teknologi MARA (UiTM) muncul naib juara pertandingan berasaskan penyelidikan robot, 'University Robot Competition: Kingdom of Champions (U-ROCK) 2023, baru-baru ini.

 

UiTM berkata, mereka terdiri daripada tiga pelajar Sarjana Sains Kejuruteraan Pengurusan Penerbangan iaitu Muhammad Ashraf Zhafry Nor Azri, Mohd Fitri Reza Mohd Noor, Muhammad Firdaus Bin Zakaria dan diketuai seorang penyelia dan pensyarah, Dr Mohd Hafiz Mohd Noh.

 

Katanya, sebanyak 20 pasukan yang mewakili institusi pengajian tinggi (awam dan swasta), institut kemahiran, politeknik dan pusat latihan pengajar bersaing, yang mana hanya empat pasukan layak ke peringkat akhir. 

 

"Tiga teras yang dinilai dalam pertandingan ini adalah kebolehan dron melepasi kesemua halangan, pendaratan yang baik dan penghantaran sempurna serta catatan masa terpantas.

 

"Selaras dengan objektif penghasilan graduan yang seimbang daripada segi teori dan praktis, pihak pengurusan tinggi Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM sentiasa peka dengan keperluan kewangan dalam memenuhi aspirasi tersebut. 

 

"Justeru, dengan kelulusan peruntukan kewangan daripada Tabung Amanah Program Pascasiswazah, pasukan UiTM ini berjaya menghasilkan sebuah multirotor dron lengkap yang memenuhi spesifikasi dan syarat pertandingan," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, proses penghasilan dron itu mengaplikasikan pengetahuan teori ke praktis dalam bidang aerodinamik, sistem pendorongan, pembinaan kerangka, pemilihan material, kawalan navigasi, pengurusan kos dan juga muatan integrasi.

 

 

uitm

 

 

uitm

 

 

Katanya, Kolej Pengajian Kejuruteraan UiTM juga sedang dalam perancangan untuk menjadi peneraju dalam bidang aeroangkasa dan penerbangan dengan penubuhan kumpulan penyelidikan seperti Tier-4 Flight Technology & Test (FTT) dan program akademik khusus, Sarjana Sains Kejuruteraan Pengurusan Penerbangan di bawah Pengajian Kejuruteraan Mekanikal. 

 

"Bermula dengan penyelidikan dalam 'Blended Wing-Body (BWB)' dan teknologi kenderaan udara tanpa pemandu (UAV), penghasilan dron yang membawa kepada kejayaan pasukan UiTM ini merupakan hasil kerjasama di antara ahli-ahli kumpulan penyelidikan FTT yang merupakan penyelidik tenaga pengajar program sarjana. 

 

 

uitm

 

 

uitm

 

 

"Diharapkan kejayaan pasukan ini dapat memberikan inspirasi kepada para pelajar serta pemain industri dalam usaha untuk mengembangkan lagi industri drone ke peringkat yang lebih tinggi," katanya. - DagangNews.com