IPOH 30 Ogos - Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar dan Universitas Widyatama Bandung, Indonesia bergabung menjayakan program INDDEX 2023.
INDDEX (International Degree Design Exchange) 2023 merupakan salah satu subprogram Asia International Community of Art & Design (AICAD) yang dikendalikan oleh sekretariat dari Malaysia, UiTM Cawangan Perak Kampus Seri Iskandar.
Ia bertujuan untuk memberi penekanan kepada seni dan reka bentuk komuniti Asia melibatkan sembilan negara anggota serta 20 kolaborasi dari pelbagai organisasi.
Edisi ke-6 INDDEX kali ini dilangsungkan di kampus Universitas Widyatama Utama.
Ia melibatkan pelbagai aktiviti seperti pameran, simposium, creative talk serta program akademik lain yang mengaitkan bidang seni, rekabentuk, arkitektur serta teknologi aplikasi terapan.
Ketua Program Jabatan Senireka Grafik, Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Perak, Ts. Ahmad Sofiyuddin Mohd Shuib berkata, INDDEX menjadi platform kepada pelajar untuk mendedahkan portfolio mereka kepada pihak industri sama ada dari dalam dan luar negara.
"Dengan tema 'From Designer to Future Designprenuer', program ini juga untuk melahirkan seorang usahawan rekabentuk atau 'designprenuer'.
"Salah satu kelebihan terbesar yang dimiliki oleh semua 'designprenuer' adalah memanfaatkan fikiran kreatif mereka dalam kemahiran menyelesaikan masalah pihak lain," ujarnya.
INDDEX 2023 melibatkan penyertaan 20 orang pelajar iaitu 10 orang pelajar dari Jabatan Grafik dan Media Digital, Jabatan Seni Bina (10) serta lima orang pensyarah kedua-dua jabatan.
Sebanyak lapan hasil karya peserta yang dipamerkan pada INDDEX 2023 pula memenangi Anugerah Emas.
Salah satunya adalah projek bertajuk 'Co-Living Housing for Digital Nomad' milik pelajar semester tujuh UiTM Perak, Muhammad Firdaus Affandi H.Kassim. - DagangNews.com