UMW Toyota Motor bantu mangsa banjir, jadikan ibu pejabat di Shah Alam sebagai 'Pusat Kawalan Banjir' | DagangNews Skip to main content

UMW Toyota Motor bantu mangsa banjir, jadikan ibu pejabat di Shah Alam sebagai 'Pusat Kawalan Banjir'

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 28 Dis - UMW Toyota Motor menghulurkan bantuan kepada komuniti dengan menghantar kakitangan mereka untuk membantu mangsa banjir termasuk mendermakan barangan keperluan asas selain menjadikan ibu pejabat di Shah Alam sebagai 'Pusat Kawalan Banjir'.

 

Pada 24 Disember lalu, kakitangan UMW Toyota Motor mula turun padang bagi membantu mangsa terjejas dengan menjadi sukarelawan membantu membersihkan rumah mangsa yang dipenuhi lumpur.

 

Inisiatif berkenaan turut mendapat sokongan Yayasan Raja Muda Selangor yang memberikan panduan kepada mereka dalam usaha memudahkan proses bantuan.

 

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. berkata, mereka menjadikan ibu pejabat di Shah Alam sebagai pusat pengagihan makan dan kemudahan bagi mangsa yang mengalami kesulitan akibat bencana yang dihadapi.

 

"Malaysia sedang melalui detik sukar akibat bencana banjir dan kami mahu memainkan peranan kami bagi membantu meringankan bebas mangsa. Kami berharap apa yang kami lakukan ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka.

 

"Kami memutuskan untuk menjadikan ibu pejabat kami untuk menjadi 'Pusat Kawalan Banjir' bagi memudahkan orang ramai menyalurkan bantuan sebelum diagihkan kepada mereka yang memerlukan," katanya dalam satu kenyataan.

 

toyo

 

Ravindran berkata, dalam usaha untuk memberi ketenangan kepada mangsa bencana itu, pihak UMW Toyota Motor memberi kebenaran kepada mangsa untuk meletakkan kenderaan di premis mereka tanpa mengira jenama.

 

Beliau berkata, pihaknya turut mengagihkan keperluan asas seperti dapur, kipas dan cerek kepada mngasa yang terjejas bagi memberikan sedikit kelegaan. 

 

"Kami ingin merakamkan penghargaan kepada pembekal kami termasuk Kelab Pembekal Toyota Malaysia, Denso Malaysia, Toyota Tsusho dan Sime Kansai kerana memberikan bantuan kewangan untuk inisiatif ini.

 

"Sumbangan itu digunakan untuk membeli barangan keperluan yang diperlukan mangsa banjir," katanya.

 

toyo

 

Sementara itu, mangsa banjir di Padang Jawa, Rosli Hassan, 62, menzahirkan perasaan gembira apabila ramai rakyat Malaysia bersama-sama dalam memabntu mangsa yang terlibat.

 

"Saya sangat gembira kerana dengan bantuan ini dapat mengurangkan bebanan kami dan membantu untuk menjadi lebih normal," katanya. 

 

Dalam perkembangan sama, UMW Toyota Motor turut memberikan bantuan kepada kakitangannya yang terjejas akibat banjir termasuk membaiki kenderaan peribadi yang didaftarkan atas nama mereka, bantuan kewangan dan pemberian keperluan barangan asas. - DagangNews.com