KUALA LUMPUR 9 Sept - unifi TV memperluaskan tawarannya dengan memperkenalkan MangoTV, salah sebuah platform video dalam talian terkemuka Tanah Besar China, dan SIAR, saluran tempatan yang turut mempunyai ciri aplikasi penstriman atas permintaan untuk filem Melayu klasik berkualiti tinggi.
Menambah kepada kepelbagaian saluran premium dan aplikasi penstriman sedia adanya termasuk Disney+ Hotstar, beIN SPORTS CONNECT, WeTV dan Lionsgate Play, tawaran baharu itu dapat memberikan sesuatu untuk semua, dalam satu langganan dan semuanya boleh distrim melalui unifi Plus Box.
Penambahan ini juga mengukuhkan tawaran nilai unifi yang memiliki pilihan aplikasi penstriman terbesar dengan 18 rakan kongsi aplikasi keseluruhannya menjelang November 2022.
Ketua Pegawai Komersial TM dan Naib Presiden Eksekutif unifi, Anand Vijayan berkata, MangoTV dan SIAR adalah tambahan berkualiti kepada tawaran antarabangsa dan tempatan unifi TV.
"Melalui MangoTV pelanggan boleh beralih kepada aplikasi lain secara percuma dan boleh mengakses pelbagai kandungan secara lebih luas serta mempunyai kawalan ke atas pilihan hiburan mereka, selain membolehkan mereka menyesuaikan kandungan pilihan mereka,” katanya dalam satu kenyataan.
Bermula 6 September yang lalu, unifi TV juga telah melancarkan dua promosi Ultimate Pack baharu.
Dengan percubaan percuma selama 30 hari, pada harga RM49.90 dan RM59.90 setiap satu, pelanggan dapat mengakses kesemua 73 saluran premium dan enam hingga lapan aplikasi penstriman pelengkap.
Anand berkata, sebagai peneraju dalam penyelesaian konvergens untuk jalur lebar dan hiburan, unifi menyediakan tawaran kualiti semua-dalam-satu yang memudahkan pengalaman pelanggan.
"Tawaran kami termasuk pengebilan konsolidasi dan harga tetap yang memenuhi permintaan dalam talian dan penstriman pelanggan. Kedua-dua tawaran baharu ini kini menambah kepelbagaian pilihan untuk penonton dari semua latar belakang," katanya.
Naib Presiden MangoTV, Fang Fei pula berkata, mereka juga komited untuk mempromosikan pertukaran budaya di seluruh dunia sambil membangunkan kandungan audio visual berkualiti tinggi tanpa henti.
“Dengan memupuk daya saing terasnya melalui kandungan yang dihasilkan sendiri, MangoTV telah melalui perjalanan eksklusif, keunikan dan keaslian. Kami berharap dapat memperdalam komunikasi dan pertukaran dengan TM ke arah mewujudkan kerjasama strategik lebih besar antara kedua-dua pihak," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif SIAR, Ali Agung berkata, dengan kehadiran SIAR di unifi TV, filem klasik tempatan akan diberi nafas baharu dalam kehidupan seiring dengan perkembangan teknologi semasa.
"SIAR ialah arkib filem digital yang menghimpunkan ratusan filem Melayu klasik dari tahun 1970-an hingga 2000-an yang boleh dinikmati penonton secara sah," katanya. - DagangNews.com