UniKL kekal dalam senarai universiti terbaik dunia untuk 2022 - Mahdzir | DagangNews Skip to main content

UniKL kekal dalam senarai universiti terbaik dunia untuk 2022 - Mahdzir

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Okt - Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sekali lagi mencatatkan pencapaian membanggakan apabila kekal dalam senarai universiti terbaik dunia tahun ini. 

 

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pencapaian itu berdasarkan laporan Times Higher Education (THE) World University Ranking 2023 yang diterbitkan pada 12 Oktober 2022 dan laporan itu meletakkan UniKL di dalam kedudukan 1,201-1,500 Dunia selain ke-14 dalam kelompok universiti terbaik Malaysia.

 

"Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada pengurusan tertinggi UniKL dan juga seluruh kakitangan akademik yang telah membuktikan kewibawaan sehingga berjaya meletakkan UniKL dan Pendidikan TVET berada dalam senarai terbaik dunia.

 

"Sebagai sebuah institusi pengajian tinggi di bawah MARA, saya turut merasa bangga atas pencapaian tersebut dan berharap UniKL terus mencipta gemilang menerusi kecemerlangan dari segi ranking dunia," katanya dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

 

Mahdzir berkata, kajian THE World University Ranking 2023 meliputi 1,799 universiti di 104 negara dan merupakan laporan kedudukan universiti yang terbesar di peringkat global dan diiktiraf semua pihak.

 

Kesemua universiti termasuk UniKL dinilai berdasarkan 13 penunjuk prestasi yang diukur secara teliti merentasi empat bidang utama iaitu pengajaran, penyelidikan, pemindahan ilmu dan prospek antarabangsa.

 

unikl

 

"Saya pasti UniKL akan terus mengambil langkah lebih luas dan jauh untuk meletakkan nama UniKL di persada dunia akademik global khususnya untuk menarik minat pelajar-pelajar antarabangsa ke UniKL," katanya.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UniKL, Datuk Dr. Roziah Omar berkata, UniKL menyasarkan untuk berada di kedudukan 600 teratas dalam senarai universiti terbaik dunia menjelang 2025.

 

Katanya, pihaknya akan terus menggandakan usaha dalam mengimbangi penekanan aspek peningkatan reputasi, kelestarian kewangan dan pembinaan negara bangsa bagi mencapai objektif yang ditetapkan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar, MARA dan MARA Corporation.

 

UniKL kini mempunyai jumlah enrolmen seramai 24,711 pelajar dengan 23,802 adalah pelajar tempatan manakala 909 adalah pelajar antarabangsa.

 

UniKL yang ditubuhkan pada tahun 2002, kini menawarkan sejumlah 140 jenis kursus selain mencatatkan kadar keboleh pasaran graduannya 97.1% pada 2021 dan 96.1%  pada 2020.

 

Sebelum ini, UniKL menerima beberapa pengiktirafan termasuk dinobatkan sebagai Best Universities (Employability Ranking) oleh TalentBank pada 2020 selain Putra Brand Award Anugerah Platinum 2021 serta Anugerah Emas 2020 selain Penarafan SETARA 5 (Cemerlang) oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

 

UniKL juga berada di kedudukan 401+ Ranking Asia: THE Asia University Rankings 2022 serta kedudukan 301+ senarai QS Asia University Rankings 2022. - DagangNews.com