Universiti UCSI, SKMM wujudkan kerjasama strategik dalam penyelidkan teknologi 5G | DagangNews Skip to main content

Universiti UCSI, SKMM wujudkan kerjasama strategik dalam penyelidkan teknologi 5G

KUALA LUMPUR 22 Mac - Universiti UCSI memetrai perjanjian dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi mewujudkan kerjasama strategik dalam penyelidikan teknologi dan aplikasi 5G.

 

Naib Canselor Universiti UCSI, Profesor Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir berkata, inovasi merupakan satu keperluan dalam proses pembelajaran dan pengajaran kerana ia bukan sahaja menjimatkan masa tetapi meningkatkan minat pelajar.

 

“Inovasi menuntut pendidik dan pelajar untuk berpengetahuan, berkemahiran, berfirikan analitik dan mahu mengerjakan sesuatu yang baharu. 

 

"Ciri ini amat diperlukan dalam dunia pendidikan untuk melahirkan pelajar yang bersedia untuk berdepan cabaran Revolusi Industri Keempat (IR 4.0), 5G dan revolusi yang bakal tiba.

 

“Oleh itu, kursus micro-credential UCSI bakal membantu graduan mendepani masa akan datang sambil pemahiran semula dan peningkatan kemahiran tenaga kerja di Malaysia untuk berkembang maju dalam IR 4.0,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Perjanjian itu akan menjadi platform untuk kedua-dua pihak termasuk dalam pembangunan kursus micro-credential dalam pelbagai bidang seperti Forensik Digital, Bioinformatik, Analitik Data Raya dan Keselamatan Siber.

 

Menerusi perjanjian itu, SKMM akan menggunakan khidmat Pusat Penyelidikan Undian UCSI dan Pusat Kajian Polisi Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) Tan Sri Omar Abdul Rahman untuk menjalankan kaji selidik dan penyelidikan selain memanfaatkan Sumber Kepakaran UCSI  dalam bidang ICT.

 

Sementara itu, SKMM berkata, kerjasama dengan UCSI dan akademia lain akan membuka laluan dalam menyediakan bakat digital untuk kepimpinan digital dalam bidang inovasi dan teknologi. 

 

"Suruhanjaya akan bekerjasama rapat dengan industri dan akademia dalam memastikan seluruh tenaga kerja digital bersedia," katanya. - DagangNews.com