Unjuran untung bersih FY21 Malayan Flour Mills ditingkatkan 21.4% - AmInvest | DagangNews Skip to main content

Unjuran untung bersih FY21 Malayan Flour Mills ditingkatkan 21.4% - AmInvest

Malayan Flour Mills Berhad (MFM)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 23 Ogos - Unjuran untung bersih syarikat pelopor industri pengilangan tepung di Malaysia, Malayan Flour Mills Berhad (MFM) ditingkatkan sebanyak 21.4% bagi tahun kewangan 2021 (FY21).

 

AmInvest Research berkata, peningkatan itu dibuat dengan mengambil kira kos perbelanjaan yang lebih rendah di samping pendapatan yang lebih kukuh.

 

"Untung bersih MFM pada separuh pertama 2021 (1HFY21) melebihi jangkaan kami. Kami tingkatkan unjuran untung bersih MFM bagi FY21 sebanyak 21.4% untuk mengambil kira faedah perbelanjaan yang lebih di samping pendapatan yang lebih tinggi serta menutup kerugian dari bahagian ternakan ayam.

 

MFM melaporkan jumlah keuntungan bersih sebanyak RM60.2 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2021 berbanding RM37.6 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2020.

 

Peningkatan keuntungan bersih itu disokong oleh lonjakan perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) segmen tepung sebanyak 59.1% serta penurunan perbelanjaan sebanyak 51.8%.

 

Segmen tepung MFM merekodkan EBIT sebanyak RM87.8 juta pada separuh pertama tahun kewangan 2021, 59.1% lebih tinggi daripada RM55.2 juta yang dicatatkan pada separuh pertama tahun kewangan 2020 (1HFY20).

 

Margin EBIT segmen tempung menyaksikan peningkatan kepada 8.0% pada separuh pertama 2021 berbanding 5.4% bagi tempog sama tahun sebelumnya.

 

Mengikut perbandingan suku tahunan pula, EBIT segmen tepung pada suku kedua 2021 menurun 19.6% kepada RM39.1 juta berbanding suku sebelumnya.

 

"Kami berpendapat, kenaikan EBIT 59.1% dalam segmen tepung pada separuh pertama 2021 adalah disebabkan oleh harga jualan yang lebih tinggi, jumlah jualan yang meningkat dan kos gandum yang lebih rendah pada suku pertama 2021.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' saham MFM dengan nilai yang tidak berubah iaitu RM1.37/saham," tambah AmInvest Research lagi. - DagangNews.com