Untung bersih Affin Bank turun kepada RM402.19 juta bagi FY23, tahun mencabar buat industri perbankan | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Affin Bank turun kepada RM402.19 juta bagi FY23, tahun mencabar buat industri perbankan

Bagi suku keempat 4QFY23, Affin melaporkan peningkatan berganda keuntungan kepada RM39.53 juta berbanding RM16.56 juta setahun sebelumnya
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Feb - Kumpulan Affin mencatatkan untung bersih sebanyak RM402.19 juta bagi tahun kewangan 2023 (FY23), rendah lebih separuh berbanding RM1.17 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Bagi suku keempat 4QFY23, Affin melaporkan peningkatan berganda keuntungan kepada RM39.53 juta berbanding RM16.56 juta setahun sebelumnya terutama disebabkan oleh elaun yang lebih rendah untuk kerugian rosot nilai dan pendapatan faedah yang lebih tinggi.

 

Sementara itu, hasil turun kepada RM486.19 juta daripada RM566.71 juta pada suku perbandingan, kata Affin dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini. 

 

Perolehan sesaham kumpulan itu pula meningkat kepada 1.62 sen daripada 0.4 sen sebelumnya.

 

Dividen akhir adalah sebanyak 5.76 sen sesaham, mewakili jumlah pembayaran kira-kira RM135.3 juta atau 33.6% daripada keuntungan bersih kumpulan pada FY23.

 

Sementara itu, Presiden & Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, tahun 2023 adalah mencabar kerana industri terus menyaksikan pemampatan margin yang timbul daripada persaingan untuk deposit susulan peningkatan mendadak kadar faedah Rizab Persekutuan AS dan Bank Pusat Eropah.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan Sarawak manfaatkan pegangan dalam Affin Bank untuk perkasa PKS - Abang Johari

 

"Pemampatan margin faedah bersih (NIM) terus memberi kesan kepada hasil tetapi kumpulan itu telah menunjukkan daya tahan dengan membina asas yang lebih kukuh dan mendalam untuk akaun simpanan akaun semasa (Casa), pertumbuhan pinjaman, pinjaman terjejas kasar, perlindungan kerugian pinjaman dan pemerolehan pelanggan yang akan melonjakkan kita ke masa hadapan," katanya dalam kenyataan.

 

Katanya, jumlah aset Affin pada Disember 2023 telah melepasi RM105 bilion, meningkat dengan ketara daripada RM70 bilion pada 2020. 

 

"Ini didorong oleh pertumbuhan pinjaman yang ketara sebanyak 12.3% tahun ke tahun," jelasnya.- DagangNews.com