Untung bersih Bermaz Auto pada 4QFY24 susut 10% kepada RM90.22 juta | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Bermaz Auto pada 4QFY24 susut 10% kepada RM90.22 juta

Jualan dan pendapatan Bermaz Auto pada 4QFY24 susut berbanding setahun sebelumnya. -Gambar Mazda Bayan Lepas
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMUR 11 Jun - Bermaz Auto Bhd mencatat untung bersih RM90.22 juta bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 30 April 2024, kira-kira 10.3% lebih rendah berbanding tempoh sama setahun lalu yang berjumlah RM100.62 juta.

 

Pendapatan bagi suku keempat tahun kewangan 2024 (4QFY24) pula berjumlah RM937.52 juta, juga lebih rendah berbanding RM1.07 bilion bagi tempoh sama setahun lalu.

 

"Pendapatan Kumpulan yang berkurang RM134.9 juta atau turun sebanyak 12.6%, terutamanya disebabkan oleh penurunan jumlah jualan domestik jenama Mazda dan Kia. 

 

"Pendapatan kumpulan yang lebih tinggi setahun sebelumnya terutamanya disebabkan oleh pengguna berebut mendaftarkan kenderaan mereka menjelang 31 Mac 2023 untuk layak menerima insentif pengecualian cukai jualan," katanya dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Dalam pemakluman itu, Bermaz Auto berkata, Kia Malaysia Sdn Bhd (KMSB) telah mencatatkan peningkatan jumlah jualan eksport.

 

Kumpulan itu turut mengumumkan dividen suku keempat sebanyak 11.75 sen sesaham.

 

Sementara itu, untuk FY24 yang berakhir pada 30 April 2024, Kumpulan melaporkan pendapatan dan untung sebelum cukai yang lebih tinggi masing-masing sebanyak RM3.93 bilion dan RM489.1 juta berbanding tahun kewangan sebelumnya yang melaporkan pendapatan dan untung sebelum cukai masing-masing sebanyak RM3.54 bilion dan RM423.3 juta.

 

"Peningkatan pendapatan sebanyak 11.0%, terutamanya disebabkan oleh peningkatan jumlah jualan dari operasi domestik jenama Mazda, terutamanya dari model Mazda CX-30 CKD yang terus mencatatkan jumlah jualan tinggi sejak pelancarannya pada Mac 2023.

 

"Selaras dengan peningkatan pendapatan, keuntungan sebelum cukai Kumpulan juga meningkat sebanyak RM65.8 juta atau 15.6% berbanding dengan tahun kewangan sebelumnya," katanya. - DagangNews.com