KUALA LUMPUR 31 Okt - Untung bersih Bursa Malaysia Bhd. pada suku ketiga berakhir 30 September 2022 susut kepada RM50.13 juta daripada RM79.94 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pendapatan bagi tempoh itu juga menurun kepada RM140.36 juta daripada RM173.98 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.
Ini menyaksikan untung bersihnya bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022, susut 38.8% kepada RM177.6 juta daripada RM290.3 juta ekoran hasil operasi yang lebih rendah terutamanya dagangan sekuriti. Susulan itu, pendapatan juga susut kepada RM457.44 juta daripada RM602.36 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Muhamad Umar Swift berkata, memandangkan turun naik global dan persekitaran kadar faedah yang lebih tinggi terus mencabar perniagaan pasaran sekuriti, peningkatan dalam prestasi pasaran derivatif serta perniagaan data pasaran telah membantu menyumbang kepada angka keuntungan dalam tempoh kewangan tersebut.
Katanya, Bursa Malaysia akan terus memastikan ia berinovasi dan kekal tangkas untuk menjana peningkatan volum sekali gus menyumbang kepada aliran hasil yang lebih tinggi dalam semua segmen perniagaan dalam iklim pelaburan ini.
"Jumlah dagangan menghadapi ketidaktentuan global, tetapi Bursa Malaysia terus terlibat secara aktif dengan peserta pasaran sedia ada dan berpotensi untuk menyerlahkan nilai dan daya tarikan pasaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam tempoh sembilan bulan, pasaran sekuriti merekodkan hasil dagangan sebanyak RM203 juta, susut 43.6% berbanding RM359.9 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Ini disebabkan nilai purata dagangan harian (ADV) yang lebih rendah untuk Dagangan Dalam Pasaran Pasaran Sekuriti (OMT) dan Dagangan Perniagaan Langsung (DBT) bagi tempoh itu sebanyak RM2.2 bilion berbanding RM4 bilion bagi tempoh sama 2021.
Bagi penyenaraian baharu pula, dana yang dikumpul daripada tawaran awam permulaan (IPO) dalam tempoh tersebut adalah sebanyak RM2.8 bilion, lebih tinggi berbanding RM2.3 bilion yang dikumpul dalam tempoh sembilan bulan tahun lalu.
Jumlah hasil dagangan derivatif meningkat 11.5% kepada RM73.4 juta dalam tempoh sembilan bulan itu daripada RM65.8 juta pada tahun sebelumnya, disumbangkan oleh pendapatan pengurusan cagaran yang lebih tinggi serta bilangan Niaga Hadapan Minyak Sawit Mentah (FCPO) dan FTSE Bursa Malaysia KLCI Futures yang lebih tinggi (FKLI).
Kontrak purata harian (ADC) meningkat 2.2% dalam tempoh itu dengan 78,540 kontrak berbanding 76,836 kontrak bagi tempoh sama tahun lalu. - DagangNews.com