Untung bersih Digi susut 15.45% kepada RM264.48 juta pada suku ketiga | DagangNews Skip to main content

Untung bersih Digi susut 15.45% kepada RM264.48 juta pada suku ketiga

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 20 Okt - Digi.Com Bhd. merekodkan untung bersih sebanyak RM264.48 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2022, susut 15.45% daripada RM312.83 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga susut kepada RM1.53 bilion berbanding tahun lalu sebanyak RM1.58 bilion.

 

Hasil perkhidmatan Digi kekal berdaya tahan dengan penurunan kecil 0.5% suku ke suku kepada RM1.32 bilion pada suku ketiga 2022, di sebalik kesan daripada tekanan makro yang buruk dan berakhirnya program Jaringan Prihatin.

 

Pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) berjumlah RM749 juta, meningkat 0.9% suku ke suku dengan margin yang sihat pada 48.9%, disumbangkan oleh pendapatan yang berdaya tahan, inisiatif pemodenan dan pengurusan kos yang cekap.

 

Ini menyaksikan untung bersih bagi tempoh kumulatif sembilan bulan susut kepada RM720.67 juta daripada RM857.55 juta dengan pendapatan susut kepada RM4.59 bilion daripada RM4.75 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Dalam kenyataan hari ini, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pemasaran Digi, Praveen Rajan berkata, permintaan dilihat terus meningkat untuk perkhidmatan mudah alih bagi semua segmen.

 

"Dengan ketidaktentuan makroekonomi seperti risiko kemelesetan global yang membebankan pasaran, kami akan kekal berdisiplin dalam pengurusan kos, di samping terus melabur dalam bidang pertumbuhan strategik, penambahbaikan rangkaian dan agenda pemodenan.

 

"Malah, perbincangan berkaitan perjanjian capaian 5G dengan pihak berkaitan sedang berjalan dengan baik, dan kami juga tidak sabar untuk menyempurnakan cadangan penggabungan Celcom-Digi tahun ini,” katanya.

 

Permintaan pengguna untuk data terus meningkat, seperti yang dibuktikan oleh pertumbuhan trafik data syarikat sebanyak 6.2% tahun ke tahun, dengan purata data bulanan bagi setiap pengguna mencapai 23.0GB.

 

Untuk menyokong permintaan untuk sambungan internet berkelajuan tinggi, sebanyak RM173 juta perbelanjaan modal (capex) atau nisbah capex kepada jumlah hasil sebanyak 11.3%, telah dilaburkan pada suku dalam tinjauan untuk meningkatkan lagi kualiti dan liputan rangkaiannya. - DagangNews.com